suria

Tiga Aksi Persahabatan Medan Kim Swee Nilai Keserasian Pemain

PETALING JAYA: Tiga aksi persahabatan di Bangkok,Thailand bermula 21 Mac ini, menjadi medan terbaik bagi pengendali skuad bawah 23 tahun kebangsaan Datuk Ong Kim Swee untuk menilai keserasian permainan dalamkalangan pemain.


Beliau berkata aksi persahabatan berkenaan termasuk pertemuan menentangskuad bawah 22 tahun Thailand merupakan peluang terbaiknya menguji pemain sebelum memilih senarai akhir 20 pemain ke Sukan SEA 2015 di Singapura pada Jun.

"Daripada tiga perlawanan persahabatan itu, saya turut mahu mengembalikansemula kecergasan pemain kerana mereka jarang beraksi bersama pasukan masing-masing," katanya ketika ditemui Bernama pada sesi latihan skuad berkenaan di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya, pada Selasa.

Pengendali berusia 44 tahun itu berkata keputusan di Bangkok bukan menjadi keutamaannya, namun lebih memberi fokus kepada peningkatan corak persembahan pemain. 

"Saya akan membawa 25 pemain ke Bangkok, namun mereka perlu membuktikan prestasi mereka bagi merebut tempat dalam kesebelasan utama pasukan," kata Kim Swee.

Dalam pada itu, beliau memuji komitmen tinggi yang dipamerkan oleh pemain yang dipanggil untuk menjalani latihan pusat sejak Ahad lepas, kerana sentiasa berusaha merebut tempat dalam kesebelasan utama.

"Saya percaya pemain-pemain ini kalau dipanggil kerap kali (bagi sesi latihan pusat) atau diberi peluang beraksi dalam kesebelasan utama pasukan masing-masing, mereka mampu bersaing di peringkat yang tinggi," katanya.

Kim Swee berkata pemain berkenaan akan dipanggil semula untuk sesi latihan fasa kedua pada 15 Mac ini, sebelum mereka berlepas ke Bangkok untuk tiga aksi persahabatan tersebut.

Sesi latihan fasa pertama skuad B-23 negara ke Sukan SEA 2015, bermula Ahad lepas dan berakhir pada Selasa.

Ong Kim Swee, Sukan Sea 2015

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain