suria

Musim 2015 Peluang Terakhir Zulfahmi - Razlan

Razlan bersama pelumba pasukan DRIVE M7 SIC Racing Team, Zulfahmi pada majlis pelancaran pasukan itu di Sepang, Selasa.

SEPANG: Musim perlumbaan 2015 adalah peluang terakhir buat pelumba Moto3 negara Zulfahmi Khairuddin untuk bangkit dan membuktikan prestasi terbaik beliau pada saingan motosikal Grand Prix (GP) Dunia.

Peringatan itu diberikan Ketua Pegawai Eksekutif Sepang International Circuit (SIC) Datuk Razlan Razali yang mempunyai aspirasi tinggi terhadap pelumba negara itu serta pasukan baharu yang dilancarkan hari ini, Drive M7 SIC Racing Team.

"Kita dah duduk (bincang) dengan dia (Zulfahmi), kita buat pasukan ini untuk Fahmi (Zulfahmi) dan sukan permotoran Malaysia. Ini peluang terakhir Fahmi," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran pasukan lumba motosikal pertama negara itu di sini, Selasa.

Razlan berkata, sekiranya prestasi Zulfahmi cemerlang kali ini, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk terus membuat pelaburan bagi meletakkan pelumba itu dalam kelas yang lebih tinggi.

Katanya, banyak bakat baharu dalam kalangan pelumba muda telah mempamerkan prestasi memberangsangkan khususnya dalam perlumbaan Asian Talent Cup yang dilihat mempunyai prospek tinggi mengisi tempat yang disifatkan sebagai 'kerusi panas' itu.

"Semua hendakkan 'tempat' ini. Kalau nampak Fahmi (Zulfahmi) tidak memperbaiki prestasinya tahun ini...lebih kurang, ini tahun terakhir. Malah, mungkin pertengahan tahun, kita akan tengok (prestasi beliau).

"Kalau dia fikir hendak teruskan dalam Moto3 yang sudah masuk tahun ketujuh...ia terlampau lama. Sebab itu kita mahu dia buat terbaik. Kalau dia buat yang terbaik, kita sendiri akan cadang untuk melabur masuk ke Moto2," katanya.

Zulfahmi, 23, pelumba kelahiran Banting, Selangor itu pernah menaiki podium pada perlumbaan Moto3 di Sepang pada 2012 ketika bersama pasukan AirAsia-SIC-Ajo, dan menamatkan perlumbaan pada kedudukan ke-10 pada 2013 bersama pasukan Redbull KTM Ajo.

Bagaimanapun, pelumba yang bermula dengan tiket wildcard pada 2009 di perlumbaan GP Malaysia, mempamerkan aksi hambar musim lepas bersama pasukan Ongetta-AisAsia dan hanya menamatkan perlumbaan di tempat ke-20 keseluruhan.

Terdahulu dalam ucapannya, Razlan berkata hasrat untuk mewujudkan pasukan lumba motosikal Malaysia itu telah dikemukakan buat kali pertama kepada lembaga pengarah SIC, namun ditolak pada Oktober tahun lepas.

"Lembaga Pengarah berpendapat, SIC tidak perlu bertanggungjawab dalam menguruskan pasukan lumba motosikal. Keadaan itu telah berubah dan bersama-sama dengan Johan (Stigefelt), kita merancang dan mengambil alih pasukan sedia ada daripada Moto2, dan saya membentangkan (cadangan itu) dan mereka yakin untuk kali kedua dan memberi saya peluang meneruskan hasrat itu," katanya.

Selain Zulfahmi, pasukan Drive M7 Racing Team turut disertai pelumba dari Republik Czech Jakob Kornfeil, yang mempunyai pencapaian terbaik pada musim lepas, apabila menamatkan perlumbaan di tempat ke-12 bersama Calvo Team.

Kornfeil, 21, yang mewakili Calvo Team terlibat dengan perlumbaan Moto3 sejak 2007, meraih gelaran 'Champion of Red Bull Rookies Cup' pada 2009.

Kedua-dua pelumba pasukan Drive M7 Racing Team disasarkan untuk berada sekurang-kurangnya dalam kelompok 10 teratas pada musim ini.

Saingan perlumbaan Motosikal GP 2015 akan membuka tirai pada 29 Mac, dengan perlumbaan pertama berlangsung di Litar Antarabangsa Losail, Qatar.


Artikel Lain