suria

Cabaran Negara Dalam Acara Perseorangan Terbuka Malaysia Berakhir

Jawairiah Noordin.
KUALA LUMPUR: Kempen Malaysia dalam acara perseorangan Kejohanan Tenis Terbuka Malaysia BMW 2015 berakhir selepas wakil tunggal negara, Jawairiah Noordin gagal melepasi pusingan pertama di Kelab Golf Diraja Selangor (RSGC) di sini, Isnin.

Jawairiah, yang layak ke undian utama atas tiket wildcard, dengan mudah dikalahkan oleh oleh pemain Kazakhstan, Yulia Putintseva dengan keputusan 6-2 dan 6-1 dalam pertarungan selama sejam 17 minit.

Putintseva akan menentang pemenang daripada pusingan kelayakan, Elizaveta Kulichkova dari Rusia pada pusingan kedua.
Kulichkova sebelum itu memulakan saingan undian utama dengan mengejutkan pemain pilihan ketujuh, Bojana Jovanovksi dari Serbia dengan keputusan 6-3 dan 7-6 (4).

Dalam pada itu, Jawairiah berkata beliau memerlukan pendedahan pada kejohanan di luar negara untuk mendapatkan pengalaman serta rentak yang lebih lancar dan konsisten.

"Pengalaman yang saya ada sekarang tidak mencukupi untuk lawan dengan standard Persatuan Tenis Wanita (WTA). Saya janjikan satu perlawanan terbaik dan saya sudah mencuba yang terbaik...itulah perlawanan terbaik dari saya," katanya kepada pemberita selepas perlawanan itu.

Bagaimanapun, Jawairiah akan meneruskan cabaran negara dalam acara beregu pada Selasa dengan gandingan pemain negara S. Theiviya.

Beregu negara akan memulakan pusingan pertama dengan menentang gandingan  pemain China Han Xinyun dan pemain Jepun, Junri Namigata.

Dalam pada itu, pemain pilihan keenam, Kurumi Nara dari Jepun, menewaskan pemain Switzerland, Stefanie Voegele dengan keputusan 6-3 and 7-6(4).

Pemain Jepun itu, yang menghuni ranking ke-57 dunia, akan menentang pemain Poland, Magda Linette pada pusingan kedua selepas Linette melepasi pusingan pertama dengan menewaskan pemain China, Qiang Wang, 2-6, 6-3 dan 6-0.

Kejohanan wanita itu, yang diiktiraf oleh WTA dan Persatuan Tenis Malaysia (LTAM), menawarkan jumlah hadiah wang tunai US$250,000 (RM911,750).


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain