suria

Nicol Tempah Tiket Ke Suku Akhir Terbuka Windy City

KUALA LUMPUR: Ratu skuasy negara Datuk Nicol David mara ke suku akhir kejohanan Terbuka Windy City di Chicago, Amerika Syarikat pada Ahad.

Menurut www.squashsite.co.uk, pemain nombor satu dunia ini mengambil masa 27 minit untuk mengalahkan pemain Mesir, Heba El Torky 11-5, 11-4 dan 11-7 pada pusingan kedua.

Pemain kelahiran Pulau Pinang berusia 31 tahun ini yang memenangi kejohanan  Cleveland Classic di Amerika Syarikat sebelum ini bakal berdepan pemain England,  Alison Waters.

Waters mengalahkan rakan senegara Victoria Lust 13-11, 11-5 dan 11-4.

Sementara itu pemain nombor dua negara Low Wee Wern mengalahkan seorang lain pemain Mesir berusia 15 tahun Habiba Mohamed 11-8, 9-11, 12-10, 11-6 dalam pusingan pertama pada Jumaat.

Pemain nombor lapan dunia ini akan bertemu pula pemain Australia, Rachel Grinham, 38, yang mengalahkan pemain Hong Kong, Joey Chan 11-6, 2-11, 15-13, 11-6.

Perlawanan pusingan kedua mereka akan berlangsung pukul 2 petang ini waktu tempatan.

Namun malang bagi pemain nombor tiga negara Delia Arnold yang tunduk kepada pemain nombor tiga dunia Laura Massaro dari England dalam masa 50 minit 7-11, 11-5, 11-6 dan 13-11.

Artikel Lain