suria

Dr Anuar Pangku Jawatan Presiden MPM, Zainal Digantung Tugas

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) Prof Madya Dr Anuar Suun kini memangku jawatan presiden majlis itu berikutan Datuk Zainal Abu Zarin digantung tugas kerana disiasat atas dakwaan penyelewengan wang MPM.

Setiausaha Kehormat MPM Siti Zaharah Abdul Khalid berkata Zainal digantung daripada memegang jawatan itu sejak Jun tahun lepas sementara menunggu hasil siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Zainal didakwa menyeleweng wang berjumlah RM4 juta milik badan induk sukan Orang Kurang Upaya (OKU) itu dengan melabur dalam sebuah syarikat pengurusan acara, Paralimpik Ventures Sdn Bhd (PVSB) yang diterajui Zainal dan dua anaknya.

Siti Zaharah berkata mengikut perlembagaan MPM, Zainal masih memegang jawatan tertinggi itu sehingga pemilihan kepimpinan tertinggi baharu diadakan pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Jun ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Karnival Paralimpik Malaysia 2015 di Tasik Titiwangsa yang dirasmikan oleh Pengarah Cawangan Pembangunan Sukan OKU Kementerian Belia dan Sukan, Mohd Zaki Mahmud di sini Sabtu. 

Siti Zaharah berkata kemelut itu tidak menjejaskan perjalanan program pembangunan atlet paralimpik dan kebajikan atlet tetap terus dijaga dengan baik.

Berhubung majlis pada Sabtu, Naib Presiden MPM Dr Ang Kean Koo berkata MPM buat pertama kalinya mengadakan karnival seumpama itu bagi memperkenalkan acara sukan paralimpik kepada orang ramai serta untuk mengenal pasti bakat baharu dalam sukan paralimpik.

Karnival itu disertai 20 persatuan di bawah naungan MPM.
Dr Anuar Suun, MPM

Artikel Sebelum

Keputusan Piala FA, Sabtu

Artikel Berikut

Artikel Lain