suria

Akademi AFC Bakal Ubah Putrajaya Jadi Hab Bola Sepak Asia

KUALA LUMPUR: Putrajaya bakal menjadi hab bola sepak benua ini, dengan cadangan pembinaan akademi baharu Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), kata Setiausaha Agungnya, Datuk Alex Soosay.

Beliau berkata akademi bola sepak baharu yang akan dikenali pusat kecemerlangan AFC dan dijangka siap pada 2019 di pusat pentadbiran negara itu, akan dapat memenuhi usaha dan program pembangunan bola sepak melibatkan golongan belia dan peringkat akar umbi.

Sebelum ini, ibu pejabat Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) juga dicadangkan untuk dibina di Putrajaya.

"Ia akan menjadi pusat pembangunan bola sepak yang besar di mana kita akan mempunyai padang bola sepak, padang mini dan hotel mini untuk menampung program-program di peringkat akar umbi.

"Peluang pekerjaan akan tersedia dalam kejurulatihan, latihan, pengadilan serta kakitangan teknikal," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian AFC-Toyota Innova di Rumah AFC, Bukit Jalil di sini, Jumaat.

Beliau, bagaimanapun berkata ibu pejabat badan induk bola sepak Asia di kawasan seluas 1.62 hektar itu akan kekal di Bukit Jalil, dengan tambahan keluasan 0.41 hektar akan digunakan untuk program latihan dan pembangunan.

"Kita akan mempunyai padang bola sepak di sini (Bukit Jalil) untuk membimbing jurulatih serta pembesaran bangunan AFC," katanya.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Jualan dan Pemasaran Toyota Motor, Masanao Tomozoe berkata penyerahan kenderaan Toyota Innova itu melambangkan kerjasama antara syarikat berkenaan dengan badan induk bola sepak Asia itu.

"Melangkah ke hadapan, Toyota menerusi kerjasamanya dengan AFC, bercadang untuk menggalakkan aktiviti di peringkat akar umbi seperti klinik bola sepak dan program kepada belia dan kanak-kanak melalui rangkaian pengedarnya di Asia, Timur Tengah dan Australia.

"Kami amat berbesar hati jika aktiviti itu dapat menyumbang (kepada pembangunan bola sepak) walaupun dalam cara paling kecil, untuk AFC mencapai matlamat untuk sukan bola sepak di Asia," katanya.

Akademi AFC, Alex Soosay, FAM, Putrajaya

Artikel Sebelum

Keputusan Pusingan Kedua Piala FA

Artikel Lain