suria

Malaysia Belum Pasti Jadi Hos Kejohanan Skuasy Remaja Dunia 2017

KUALA LUMPUR: Malaysia mungkin tidak akan menjadi tuan rumah Kejohanan Skuasy Remaja Dunia 2017, kata presiden Persatuan Skuasy Malaysia (SRAM), Huang Ying How.

Menurut beliau, hingga kini, SRAM belum mendapat penaja untuk menjadi tuan rumah kejohanan itu. Beliau berkata matlamat persatuan itu sekarang adalah untuk meletakkan pasukan remaja kebangsaan di tangga kedua ranking dunia.

"Setakat ini, tidak... sebab kami belum berjaya mendapatkan penaja. Ia merupakan satu rancangan. Tetapi, ini belum muktamad lagi, kami perlu menulis kepada penaja. Apabila mencari menaja, kami perlu ada matlamat...dan matlamat kami sekurang-kurangnya menduduki dua tempat teratas bagi skuad remaja dunia 16/17 lelaki dan perempuan.

"Kami perlu menyasarkan emas atau perak," katanya pada sidang media selepas melancarkan Program Pembangunan Skuasy Remaja CIMB 2015 di Pusat Skuasy Negara,Bukit Jalil, Khamis.

Beliau berkata demikian bagi mengulas persoalan yang dibangkitkan berkaitan rancangan bekas presiden SRAM, Datuk A. Sani Karim untuk mengadakan kejohanan itu di Malaysia.

Sementara itu, kira-kira 800 pemain remaja dijangka menyertai Litar Remaja Kebangsaan CIMB Rising Stars Ke-10 (Kategori Bawah -9, 11, 13) dan Litar Remaja Kebangsaan CIMB Keenam (kategori Bawah-15, 17, 19) tahun ini.

Kedua-dua kejohanan itu akan mengandungi tiga pusingan dan setiap pusingan akan diadakan di Pusat Skuasy Negara, termasuk perlawanan akhir, dengan pusingan pertama bagi Litar Remaja Kebangsaan Rising Stars diadakan mulai hari ini hingga 1 Mac.

Ying How berkata melalui sokongan berterusan Yayasan CIMB, SRAM dapat melaksanakan sebahagian besar program itu, yang meliputi peringkat akar umbi hinggalah ke peringkat menjadi pemain profesional.

"Dengan kelancaran perjalanan program ini, maka dapatlah SRAM memberi fokus terhadap usaha meningkatkan kualiti dan pencapaian pemainnya," kata beliau.

Terdahulu, Ying How dan Ketua Pgawai Eksekutif Yayasan CIMB, Raja Noorma Raja Othman menyampaikan cek kepada skuad yang menyertai KejohananTerbuka Remaja Britain 2015 dan Kejohanan Remaja Berpasukan Asia Ke-17 kerana prestasi cemerlang mereka. 

kejohanan Remaja Dunia, Skuasy

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain