suria

Piala FA: Kelantan Bakal Turun Dengan Kekuatan Maksimum Di Kuching

KOTA BAHARU: Kelantan akan turun dengan kekuatan maksimum menjelang aksi pertama Piala FA menentang Sarawak di Stadium Negeri di Kuching, Jumaat ini.
|
Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Annuar Musa berkata pasukan Kelantan perlu kembali kepada prestasi sebenar selepas tewas 0-4 kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam saingan Liga Super, Sabtu lepas.

"Saya mahu pastikan kita (Kelantan) turun dengan kekuatan maksimum dan saya nak pasukan bermain bersungguh-sungguh, kalau lepas laluan pertama ini laluan untuk ke suku akhir mungkin lebih mudah.

Kekalahan itu (menentang PDRM) merupakan satu kejutan dan kita ingin lupakan seberapa cepat yang boleh, dan kita tidak mahu perkara itu berulang, kita ambil kekalahan itu dari sudut positif," katanya kepada  pemberita ketika ditemui di sini, Rabu.

Beliau berkata kesemua pemain dalam pasukan perlu mempamerkan semangat juang  yang tinggi bagi membolehkan The Red Warriors (TRW) mencatatkan keputusan yang baik dalam  setiap perlawanan.

"Setiap perlawanan tidak mudah dan sekarang menentang Sarawak yang tidak kalah lagi musim ini, kita pergi sebagai 'underdog' dan pemain perlu bermain bersungguh-sungguh kerana peluang untuk bermain adalah terbuka," katanya.

Ketika ditanya mengenai prestasi pemain import Kelantan, Annuar berkata pihaknya berpuas hati dengan aksi yang telah dipamerkan kesemua pemain import, namun kesemua mereka akan dinilai dari semasa ke semasa.

"Pemain import Kelantan akan terus dinilai dan kalau sesiapa sahaja bermain di bawah prestasi sebenar, kita tidak teragak-agak untuk menilai semula kedudukan mereka namun buat masa ini semuanya baik," katanya. 

Kelantan

Artikel Lain