suria

Program Rakan Muda Dijenama Semula - Khairy

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar (kanan) bersama timbalannya Datuk M Saravanan bergambar dengan logo Rakan Muda semasa melancarkan penjenamaan semula Rakan Muda di Kuala Lumpur, Selasa.-fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Program Rakan Muda yang diwujudkan sejak  1990-an dijenamakan semula untuk menonjol kreativiti dan bakat golongan muda.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata langkah itu akan menarik perhatian lebih ramai belia kerana peluang mereka untuk menyumbang idea lebih terbuka bagi direalisasikan, asalkan ia memberi kemajuan kepada masyarakat dan negara.

"Ia tidak lagi berfungsi mengikut kategori ditetapkan seperti Rakan Sukan, Rakan Wajadiri dan sebagainya seperti dahulu, tetapi kini terbuka kepada semua untuk terlibat jika ada bakat untuk diserlahkan," katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan semula program Rakan Muda di sini Selasa.

Beliau berkata sebagai permulaan, kerajaan memperuntukkan RM10 juta tahun ini untuk penjenamaan semula program itu.

Sehubungan itu, katanya golongan berusia antara 15 hingga 30 tahun dipelawa untuk membuat permohonan menyertai program berkenaan yang dijangka dibuka untuk pendaftaran pada Mei sempena Festival Belia.

Khairy berkata pendaftarannya adalah secara dalam talian dengan laman web khusus akan dilancarkan pada festival berkenaan.

"Mereka yang terpilih selepas penilaian dibuat jawatankuasa khas bakal menerima peruntukan untuk menjalankan projek masing-masing," katanya.

Beliau berkata bagi memperkenalkan program Rakan Muda baharu, beberapa individu yang mempunyai pelbagai bakat antaranya dalam tenunan, muzik dan sukan dikenali sebagai Mentor Rakan Muda yang akan membuat 'road show' di seluruh negara termasuk di luar bandar.

Mereka akan berkongsi pengalaman dan mengenal pasti bakat baharu dalam kalangan belia untuk diketengahkan, katanya.
Terdahulu dalam ucapannya, Khairy menarik perhatian bahawa program Rakan Muda yang ditubuhkan kerajaan lebih 20 tahun lepas tidak pernah hilang.

Bagaimanapun, katanya ia dilihat ibarat hilang fokus kerana berdepan banyak saingan akibat terlalu banyak pilihan aktiviti untuk disertai anak muda.

Program Rakan Muda dilancarkan pada 29 Oktober 1994 dan dirasmikan perdana menteri ketika itu Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad untuk memperkukuh dan memperkayakan sistem serta orientasi nilai dalam masyarakat yang misi utamanya ialah bagi melahirkan potensi tertinggi generasi belia supaya mendokong matlamat pembangunan negara.

Rakan Muda, Khairy Jamaluddin

Artikel Sebelum

Artikel Lain