suria

MSN Akan Tentukan Ketua Jurulatih Skuad Hoki Negara - Khairy

Khairy Jamaluddin
KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata Majlis Sukan Negara (MSN) telah diarah untuk menentukan ketua jurulatih skuad hoki kebangsaan yang baharu.

Khairy berkata perkara itu telah dimaklumkan kepada Ketua Pengarah MSN Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

Setakat ini dua calon disebut-sebut bakal menggalas tanggungjawab itu, jurulatih tempatan Tai Beng Hai dan Niel Hawgood dari Australia.

Beliau berkata buat sementara waktu, jurulatih skuad hoki kebangsaan, Beng Hai akan mengendalikan pasukan negara manakala Hawgood dari Australia kekal menjadi konsultan kepada pasukan negara, katanya.

Khairy berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan pertandingan seni mempertahankan diri campuran, "The Malaysian Invasion Mixed Martial Arts" (MIMMA), Isnin.

Hawgood telah bersama skuad hoki kebangsaan sebagai konsultan sejak kempen Liga Hoki Dunia pusingan kedua di Singapura pada Januari lepas.

"Buat masa ini beliau (Hawgood) kekal menjadi konsultan, saya minta KP MSN (Ahmad Shapawi) membuat penilaian sedikit tentang kedudukan jurulatih ini sama ada mahu mengekalkan Beng Hai atau Hawgood kekal menjadi konsultan," katanya.

Berkenaan jawatan Pengarah Teknikal Sukan Berprestasi Tinggi, Khairy berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan calon asing mungkin dipilih bagi mengisi jawatan itu.

"Kami banyak menerima permohonan daripada calon asing yang berkelayakan.
Saya akan menemu duga mereka dalam tempoh dua minggu lagi untuk mencari calon yang tepat bagi jawatan tersebut," katanya.

Sementara itu pada majlis hari ini, Khairy dan Ketua Pegawai Eksekutif Tune Talk, Jason Lo memperkenalkan pertandingan seni mempertahankan diri, MIMMA yang bertujuan untuk membangunkan seni mempertahankan diri campuran di Malaysia.

Pertandingan itu terbuka kepada rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas menerusi tujuh kategori iaitu flyweight, bantamweight, featherweight, lightweight, welterweight, middleweight dan heavyweight akan berlangsung di Johor Baharu pada 21 dan 22 Mac ini.

MIMMA menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM150,000 dan orang ramai boleh melayari laman web http://malaysianinvasion.com untuk maklumat lanjut.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain