suria

Kontrak Baharu Penganjuran F1 Malaysia Dalam Perbincangan - Mokhzani

Ahmad Phesal (tengah) bersama Liz Kamaruddin mempamerkan trofi kejuaraan F1 Malaysia.
KUALA LUMPUR: Pengerusi Litar Antarabangsa Sepang (SIC) Tan Sri Mokhzani Tun Mahathir menjelaskan pembaharuan kontrak penganjuran perlumbaan Formula Satu (F1) Malaysia bagi tahun depan akan diketahui selewat-lewatnya Mac ini.

Menurutnya, buat masa ini masih perbincangan dengan pihak Formula One Management (FOM). “Kita masih dalam perbincangan dengan pihak Formula One Management dan beberapa peguam berhubung kos berpatutan bagi penganjuran F1 untuk tempoh tiga tahun akan datang.

"Kami juga perlu mengambil kira masalah ekonomi negara berbanding tahun-tahun lepas...pada masa ini kita belum membuat keputusan (kontrak penganjuran F1). Kita perlu pastikan rundingan berjalan lancar.

"Selepas mendapat persetujuan, kita akan serahkan kepada Kementerian Kewangan dan bincang sama ada akan sambung atau tidak," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Grand Prix F1 Malaysia 2015 pada Rabu malam.

Mokhzani berkata, pihaknya positif dalam meneruskan penganjuran ini kerana sedar terdapat banyak faedah sebagai penganjur, malah dapat melonjak ekonomi negara.

"Kita kena ingat, pertama kali kontrak F1 dibincangkan ialah ketika negara sedang mengalami kemelesetan ekonomi pada 1996.

"Apabila kita menganjurkan F1 buat pertama kali pada 1999, keadaan ekonomi tidak begitu baik, tetapi kita tetap menganjurkan kerana kita tahu banyak faedah yang akan diperoleh negara.

“Apa yang penting, kita kena pastikan aktiviti F1 tidak diabaikan atau dibatalkan supaya orang datang ke Malaysia bukan untuk melihat perlumbaan semata-mata.

“Dalam tempoh tiga hingga empat hari di Malaysia, mereka turut pergi melawat ke tempat-tempat menarik seperti Langkawi, Port Dickson dan sebagainya,” tambahnya.

Turut hadir pada majlis itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Ahmad Phesal Talib, Ketua Pegawai Eksekutif SIC Datuk Razlan Razali dan Pengurus Besar Kanan Komunikasi Strategik Kumpulan Petronas, Liz Kamaruddin.

Pada majlis tersebut, SIC turut memperkenalkan trofi kejuaraan perlumbaan tersebut yang direka khas oleh pengeluar pewter terkenal negara, Royal Selangor Pewter. 

Perlumbaan Grand Prix F1 Malaysia 2015 akan berlangsung dari 27 hingga 29 Mac, di Litar Sepang.

f1 malaysia, Tan Sri Mokhzani

Artikel Sebelum

Keputusan Liga Perdana Inggeris

Artikel Berikut

Artikel Lain