SEORANG kanak-kanak meninggal dunia ketika beraksi dalam sebuah kejohanan bola sepak B-12 di Johor pada Sabtu. Menerusi perkongsian Persatuan Bolasepak Johor Bahru (JBFA), mangsa dikenali sebagai Danish Hizqeel Mohd Hanif, 12 merupakan pemain Kelab Bola Sepak Shining Academy. "Adik Danish Hizqeel telah meninggal dunia semasa sedang bermain kejohanan bola sepak dan merupakan pemain yang berbakat besar. "Kehilangannya amat dirasai oleh seluruh komuniti bola sepak negeri Johor dan rakan-rakan seperjuangan di lapangan," kata persatuan tersebut di Facebook.Bagaimanapun tidak dinyatakan punca sebenar kanak-kanak berkenaan meninggal dunia.Sementara itu Shining FC dalam kenyataan memaklumkan Allahyarham mewakili kelab berpangkalan di Pasir Gudang itu sejak berusia lapan tahun."Sepanjang bersama kami, arwah dikenali sebagai seorang anak yang bersemangat, rajin berlatih, menghormati jurulatih serta sentiasa membawa senyuman kepada rakan-rakannya."Pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan yang amat besar buat seluruh keluarga Shining Academy. Kenangan, semangat dan jasa beliau akan sentiasa terpahat di hati kami," katanya.