BARISAN Nasional (BN) yakin mampu memperoleh majoriti mencukupi untuk membentuk kerajaan Negeri Sembilan secara bersendirian selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) 1 Ogos nanti.Menurut Pengerusi Umno Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, partinya optimis dapat memenangi lebih daripada 19 kerusi diperlukan bagi membentuk majoriti mudah daripada keseluruhan 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sekali gus tidak perlu bergantung kepada mana-mana parti lain untuk mentadbir negeri. "Saya amat yakin rakyat akan memberikan mandat kepada Barisan untuk membentuk kerajaan secara bersendirian. "Kami menjangkakan akan memenangi lebih daripada 19 kerusi, iaitu jumlah majoriti mudah yang diperlukan untuk membentuk kerajaan negeri," katanya kepada pemberita selepas proses penamaan calon pada Sabtu.Jalaluddin yang mempertahankan kerusi DUN Pertang berkata, dia bukan sahaja yakin mampu mengekalkan kerusi disandang, malah percaya BN akan menguasai sebahagian besar daripada 25 kerusi ditandingi gabungan itu.Beliau turut menjangkakan parti komponen BN iaitu MCA dan MIC mampu mencatat kemenangan di beberapa kawasan yang ditandingi.Mengulas mengenai calon Menteri Besar sekiranya BN menang, Jalaluddin berkata, pengumuman mengenainya akan dibuat dalam masa terdekat oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi."Perkara itu akan diputuskan dalam masa terdekat. Saya tidak boleh mengumumkan siapa calon Menteri Besar kerana ia adalah prerogatif Pengerusi BN," katanya.Beliau berkata, BN tidak ketandusan pemimpin yang berkelayakan untuk menerajui pentadbiran negeri sekiranya gabungan itu diberi mandat oleh rakyat.Ditanya mengenai kemungkinan berlaku Dewan Undangan Negeri tergantung (hung assembly) sehingga memerlukan kerjasama dengan parti lain, Jalaluddin mengakui pelbagai kemungkinan boleh berlaku dalam politik.Bagaimanapun, beliau menegaskan fokus BN ketika ini adalah untuk membentuk kerajaan secara bersendirian."Dalam politik ada pelbagai kemungkinan, namun saya tetap yakin BN mampu membentuk kerajaan tanpa perlu bekerjasama dengan parti lain," katanya.Dalam perkembangan sama, Jalaluddin berkata, BN akan melancarkan manifesto PRN pada 24 Julai di Linggi dan majlis itu dijangka disempurnakan Ahmad Zahid.Katanya, manifesto tersebut merupakan penambahbaikan kepada manifesto terdahulu dengan memberi tumpuan kepada pembangunan negeri, pendidikan, kesejahteraan rakyat, pertumbuhan ekonomi serta usaha menangani kos sara hidup, khususnya melibatkan golongan berpendapatan rendah dan peniaga kecil. -The Star