BEBERAPA kawasan di Petaling Jaya, Selangor dilanda banjir kilat susulan hujan lebat pada petang Sabtu.Salah satu lokasi terjejas teruk adalah Medan Selera 223, Seksyen 51A, yang menyaksikan kawasan berkenaan ditenggelami air hingga paras dada. Menerusi perkongsian beberapa pelayar di laman sosial, beberapa individu terkandas di medan selera berkenaan dan terpaksa menyelamatkan diri dengan memanjat meja makan."Ya Allah kesiannya, dekat 223 banjir. Ada abang tu dalam kereta, nasib baik sempat keluar, kereta dia dihayut air. "Banyak kali dah banjir dekat sini, semoga dipermudahkan urusan semua," tulis pemilik akaun @nursyazanamirza di Threads.Kenderaan ditenggelami air di kawasan ibu pejabat (HQ) Amway. -Foto media sosialIni merupakan kali ketiga medan selera berkenaan ditenggelami air akibat banjir kilat, selepas insiden sama berlaku sekitar April dan Mei lalu.Selain itu, ibu pejabat (HQ) Amway di Seksyen 51A, turut terjejas teruk dengan menyaksikan beberapa buah kenderaan hampir tenggelam sepenuhnya akibat kawasan sekitar dinaiki air.Sementara itu, beberapa trak bomba dilihat melalui kawasan Philio Damansara, Seksyen 16, Petaling Jaya dipercayai menyelamatkan sebuah kereta yang ditenggelami air berdekatan Kelab Golf Perkhidmatan Awam (KGPA).Banjir kilat turut dilaporkan berlaku di beberapa kawasan di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur akibat hujan lebat.