suria

'Suara Sukan Malaysia' Dalam Memori

Tengku Abdullah (kanan) bersama Datuk Rahim Razali (dua dari kanan) menziarahi jenazah Hasbullah yang sedia dibawa van jenazah dari IJN untuk pengebumian di Shah Alam, Khamis.

PETALING JAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan pemergian ke ramahtullah pengulas sukan negara Datuk Hasbullah Awang sebagai satu kehilangan besar buat peminat sukan negara.

"Baru dimaklum Datuk Hasbullah Awang telah pulang ke Rahmatullah. Selalu dengar ulasan Allahyarham. Kehilangan besar kepada peminat sukan. Al-Fatihah," kata Najib dalam catatan di laman Twitter beliau.

Hasbullah, 63, meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN), di Kuala Lumpur pada 12.20 tengah hari ini dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kota Kemuning, Shah Alam, pada 6.40 petang.

Pengulas veteran itu meninggalkan isteri Datin Hazida Alang Ahmad, 58, selain empat anak serta tujuh cucu.

Kerjaya terakhir Allahyarham ialah sebagai pengulas sukan dengan saluran televisyen Astro Arena bermula Januari 2014 dan sebelum itu beliau berkhidmat dengan RTM.

Selain itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah turut mengucapkan takziah kepada keluarga pengulas sukan terkenal itu.

Baginda juga meluangkan masa menziarahi jenazah di IJN sebaik selesai Mesyuarat Exco FAM di Wisma FAM.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menyifatkan pengulas sukan negara, Datuk Hasbullah Awang sebagai 'Suara Sukan Malaysia'.

Beliau yang sedih di atas pemergian personaliti itu menganggap Allahyarham akan dikenang rakyat negara ini.

"Memori kegemilangan dan kegagalan sukan negara berkait rapat  dengan ulasannya," katanya menerusi tweet sebaik mendapat berita itu, Khamis.

Di PUTRAJAYA, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menganggap Allahyarham sebagai legenda pengulas sukan yang sukar diganti.

Menyifatkan kematiannya satu kehilangan besar kepada negara, beliau berkata Hasbullah, yang merupakan pengulas pelbagai acara sukan tempatan dan luar negara, merupakan sebahagian legenda sukan negara kerana telah melonjakkan mutu sukan negara.

Satu daripada perkara memajukan sukan dalam negara ialah aspek penyiaran yang memerlukan seorang pengulas sukan yang baik.

"Bintang dalam pengulas sukan sukar dicari. Ia datang secara semula jadi dan sekali sekala sahaja. Sukar kita mencari orang yang sehebat Allahyarham," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis pelancaran AirTimeShare versi 2.0 di sini, Khamis.

Ahmad Shabery juga mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham dan akan menziarahi keluarganya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain