KEGHAIRAHAN menyokong pasukan kegemaran ketika menonton perlawanan bola sepak bersama rakan-rakan adakalanya membuatkan seseorang 'terbuai' sehingga tergamak mengeluarkan kata-kata yang memberi impak besar dalam rumah tangga.Situasi 'berani mati' itu berlaku kepada seorang wanita yang berkongsi kisah dukanya menerusi hantaran di media sosial, selepas suaminya menjadikan lafaz talak tiga sebagai bahan taruhan perlawanan antara Argentina dan Sepanyol.Menerusi luahan yang dikongsikan oleh rakan wanita berkenaan, suaminya ada menyatakan ikrar bahawa dia akan menceraikan isterinya dengan talak tiga sekiranya pasukan Argentina tewas. "Suami aku bertaruh dengan kawan-kawan dia. Kalau Argentina kalah dengan Sepanyol, dia ceraikan aku talak tiga."Aku rasa dah jatuh talak tiga. Dia balik pagi tadi (pagi Isnin) meraung macam orang gila. Aku tanya kenapa, kemudian dia ceritakan perkara sebenar," luahnya dalam mesej tersebut.Situasi berkenaan dipercayai merujuk kepada kejayaan Sepanyol menjuarai Piala Dunia 2026 menerusi kemenangan 1-0 ke atas Argentina.Wanita ini meluahkan rasa kecewa dengan situasi yang berlaku.Mengulas situasi yang berlaku itu, Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menjelaskan, lafaz talak tidak boleh dijadikan bahan gurauan mahupun taruhan.Ia berikutan, majoriti ulama daripada mazhab Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali berpendapat talak yang digantungkan kepada sesuatu syarat akan jatuh apabila syarat tersebut benar-benar berlaku.Menurut Imam Abu Syuja': Jika seseorang menggantungkan talak dengan suatu syarat, maka talak itu berlaku apabila syarat tersebut wujud.Pandangan berkenaan selari dengan ketegasan Imam al-Nawawi bahawa: Apabila seseorang menggantungkan talak dengan suatu syarat, lalu syarat itu berlaku, maka talak jatuh. Tiada khilaf dalam mazhab kami.Dalam situasi berkenaan, lafaz seperti 'kalau Argentina kalah, isteriku tertalak tiga' dikategorikan sebagai talak taklik atau talak yang digantungkan kepada syarat tertentu.Menyokong pasukan kegemaran merupakan perkara biasa bagi peminat bola sepak. -Gambar hiasan AIJelasnya, berdasarkan pandangan jumhur ulama, sekiranya pasukan tersebut benar-benar kalah seperti yang dinyatakan dalam lafaz, maka talak itu dianggap jatuh.Susulan itu beliau yang juga bekas Mufti Wilayah Persekutuan turut mengingatkan bahawa lafaz berkaitan perkahwinan tidak boleh dipermainkan meskipun diucapkan ketika bergurau atau dalam suasana penuh emosi.Ia sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Tiga perkara yang seriusnya dianggap serius dan gurauannya juga dianggap serius, iaitu nikah, talak dan rujuk. (Riwayat Abu Dawud, al-Tirmizi dan Ibn Majah).Sehubungan itu, pasangan yang berdepan situasi sedemikian dinasihatkan supaya tidak membuat keputusan sendiri, sebaliknya segera merujuk Mahkamah Syariah atau pejabat agama bagi mendapatkan pengesahan lafaz cerai mengikut hukum syarak serta undang-undang berkuat kuasa.