suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Dilema anak meragam ketika beribadah... Ustazah Asma’ Harun kongsi cara ‘selamatkan’ solat, boleh dukung si kecil tapi ada syaratnya

Kebanyakan ibu berasa dilema apabila anak menangis teruk ketika solat. -Gambar hiasan AI

TANGISAN anak ketika ibu atau bapa sedang menunaikan solat pasti mengundang rasa serba salah, terutama apabila si kecil meragam dan memerlukan perhatian segera.

Situasi yang berlaku itu menyebabkan ada memilih untuk membatalkan solat bagi menenangkan anak manakala segelintir pula tertanya-tanya sama ada mereka boleh mempercepatkan solat atau mendukung anak ketika masih menunaikan ibadah tersebut.

Menjelaskan perkara itu, pendakwah Ustazah Asma' Harun berkata, hukum asalnya ialah haram membatalkan solat fardu tanpa keuzuran yang diiktiraf syarak.

Malah tegasnya, jika anak menangis biasa dan tidak berada dalam keadaan bahaya, hendaklah meneruskan solat dengan meringankan bacaan dan hanya melakukan rukun-rukun yang wajib.

Firman Allah S.W.T dalam surah Muhammad, ayat ke-33 bermaksud; Wahai orang yang beriman! Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kepada Rasul Allah, dan janganlah kamu batalkan amal-amal kamu!

Mendukung anak ketika solat adalah dibolehkan dengan beberapa syarat. -Gambar hiasan AI

Mendukung anak ketika solat adalah dibolehkan dengan beberapa syarat. -Gambar hiasan AI

Bagaimanapun jelas Asma', terdapat keuzuran lain membolehkan solat dibatalkan seperti membunuh kala jengking, ular, menyelamatkan diri daripada bahaya atau apa sahaja yang boleh memberikan mudarat kepada diri sendiri.

Daripada Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud; Bunuhlah dua binatang hitam ketika solat iaitu ular dan kala jengking. (Riwayat Abu Daud)

Susulan itu, Asma' menghuraikan bahawa tangisan anak semata-mata bukanlah keuzuran untuk seseorang itu membatalkan solat fardu.

"Sekiranya anak hanya menangis kerana mahu didukung, mengantuk atau meragam tetapi tidak dalam keadaan yang membahayakan, maka hendaklah meneruskan solat," jelasnya.

Pun begitu katanya, ibu bapa dibenarkan untuk mempercepatkan dan meringankan solat dengan membaca surah pendek serta meninggalkan amalan-amalan sunat dalam solat.

Beliau turut memetik hadis daripada Anas bin Malik RA yang bermaksud; Aku tidak pernah solat dibelakang imam yang lebih ringan dan lebih sempurna daripada solat di belakang Nabi SAW. Apabila Baginda mendengar suara bayi menangis, maka Baginda akan meringankan solat tersebut kerana dibimbangi akan menyusahkan ibunya. (Muttafaqun alaih)

Hadis tersebut menerangkan Rasulullah SAW tidak membatalkan solat sebaliknya Baginda memendekkan bacaan serta meringankan solat.

Bolehkan mendukung anak ketika solat?

Dalam masa sama, Asma' turut menjelaskan mendukung anak ketika sedang solat juga dibolehkan sebagaimana pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW ketika mendukung cucunya, Umamah binti Zainab RA.

Namun, Asma' mengingatkan terdapat beberapa syarat perlu dipatuhi, antaranya memastikan anak yang didukung tidak membawa najis, pergerakan dilakukan tidak berlebihan sehingga melebihi tiga pergerakan besar secara berturut-turut, tidak menjejaskan rukun-rukun solat serta sentiasa menghadap kiblat.

Tambahnya lagi, jika perlu meletakkan anak ketika sujud, ibu atau bapa boleh berbuat demikian di tempat yang selamat sebelum mendukungnya semula apabila bangun berdiri.

Artikel Lain