suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Kecoh lagi isu ‘trade-in’ perhiasan emas, ramai takut dosa riba! Jangan pandai-pandai jatuh hukum, hadam dulu keputusan Majlis Fatwa

Peminat emas gemar mendapatkan rekaan perhiasan yang terkini dari masa ke masa. -Gambar hiasan AI

KEPELBAGAIAN bentuk dan corak kontemporari seiring trend masa kini menyebabkan ramai pemilik barang perhiasan emas gemar melakukan urusan tukar beli atau trade-in bagi mendapatkan rekaan baharu tanpa perlu mengeluarkan modal terlalu besar.

Kebiasaannya, barang kemas lama akan dinilai terlebih dahulu sebelum harganya ditolak daripada nilai emas baharu, manakala pembeli hanya perlu membayar jumlah perbezaan.

Kaedah itu dilihat mudah dan menguntungkan, lebih-lebih lagi apabila emas yang disimpan sejak puluhan tahun lalu sudah mengalami peningkatan nilai berkali ganda.

Bagaimanapun, satu perkongsian di Threads mencetuskan persoalan mengenai hukum urus niaga tersebut selepas seorang wanita mendakwa perbuatan menukar emas lama dengan emas baharu serta menambah sejumlah wang adalah haram.

"Saya dulu selalu trade-in emas lama dan beli baharu dengan tambah sedikit duit. Rupanya trade-in haram dalam Islam.

"Mesti jual sepenuhnya dan daripada duit itu barulah boleh beli emas lain," tulisnya pada ruangan komen sebuah hantaran mengenai nilai rantai emas lama.

Kebanyakan peminat emas gemar melakukan 'trade-in' bagi mendapatkan rekaan baru.

Kebanyakan peminat emas gemar melakukan 'trade-in' bagi mendapatkan rekaan baru. 

Persoalan itu timbul kerana emas merupakan antara enam barangan ribawi selain perak, gandum, barli, tamar dan garam.

Berdasarkan penjelasan di laman sesawang Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan, pertukaran membabitkan emas dengan emas perlu dilakukan dalam timbangan yang sama serta secara tunai dalam satu majlis.

Sekiranya berlaku pertambahan pada salah satu pihak ketika menukar barangan ribawi daripada jenis sama, urus niaga tersebut boleh dikategorikan sebagai riba al-Fadl yang diharamkan.

Larangan itu bersandarkan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: Janganlah kalian menjual beli emas dengan emas atau perak dengan perak kecuali jika sama berat, dan janganlah kalian melebihkan antara satu dengan yang lain. (Riwayat Muslim)

ARTIKEL BERKAITAN: Terpengaruh ‘live’ jualan barang kemas... teliti dulu 3 syarat ini sebelum beli, elak jatuh hukum haram

Rasulullah menetapkan urusan jual beli emas dengan emas perlu mempunyai berat sama dan tidak boleh dilebihkan antara satu sama lain.

Justeru, cara untuk mengelakkan terlibat riba  disebabkan penambahan duit ketika transaksi  adalah dengan melakukan dua urus niaga.

Bagaimanapun, hukum berkenaan mempunyai perincian apabila melibatkan barang kemas atau emas yang sudah ditempa menjadi perhiasan.

Menurut Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan, majoriti ulama dalam mazhab Syafie, Maliki dan Hanbali berpandangan bahawa emas kekal sebagai barangan ribawi walaupun sudah dijadikan perhiasan.

Namun terdapat sebahagian pandangan fuqaha termasuk Ibn Taimiyyah yang menganggap emas perhiasan sudah terkeluar daripada sifat asalnya sebagai mata wang kerana melalui proses pembuatan.

Golongan wanita gemar menyimpan barang perhiasan emas. -Gambar hiasan AI

Golongan wanita gemar menyimpan barang perhiasan emas. -Gambar hiasan AI

Ia sekali gus dianggap sebagai barangan atau perhiasan, bukannya lagi alat pertukaran yang tertakluk kepada hukum barangan ribawi.

Menerusi Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-96 pada Oktober 2011, syarat khusus jual beli emas sebagai barangan ribawi hanya melibatkan emas jongkong dan syiling emas, tidak termasuk barang perhiasan.

Sehubungan itu, Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan urus niaga trade-in emas perhiasan dibenarkan berdasarkan pandangan sebahagian fuqaha yang menyatakan ia bukan lagi barangan ribawi.

Ini bermakna dakwaan bahawa semua urusan trade-in barang kemas adalah haram tidak boleh dibuat secara umum kerana terdapat perbezaan pandangan ulama berhubung perkara tersebut.

Bagaimanapun, individu yang mahu berpegang kepada pandangan majoriti ulama dan mengambil langkah lebih berhati-hati disarankan melakukan dua akad berasingan.

Pertama, pemilik perlu menjual emas lama dan menerima wang hasil jualan tersebut terlebih dahulu.

Selepas urusan itu selesai, barulah wang berkenaan digunakan untuk membeli emas baharu. Sekiranya harganya lebih tinggi, pembeli boleh menambah wang lain bagi mencukupkan bayaran.

Kaedah dua urus niaga berasingan itu dianggap lebih selamat untuk mengelakkan sebarang keraguan atau kemungkinan berlakunya unsur riba dalam proses pertukaran emas.

Artikel Lain