suria

Perpindahan Fletcher Ke West Ham Gagal

Darren Fletcher

PERPINDAHAN pemain veteran Manchester United, Darrent Fletcher ke West Ham terbatal apabila kelab dari London itu mengubah pendirian hanya ingin mengambil pemain berasal dari Scotland itu secara pinjaman, demikian didedahkan oleh Louis van Gaal.

Menurut van Gaal, Fletcher tidak berhasrat untuk berpindah kelab secara sementara dan West Ham pula tidak bersedia mengambilnya secara tetap tidak sepertimana yang mereka nyatakan sebelum ini.

Fletcher telah menjalani pemeriksaan kesihatan bersama West Ham pada Jumaat dan hanya menunggu untuk berunding mengenai terma-terma peribadinya apabila West Ham secara tiba-tiba menukar pendirian mereka.

Kegagalan perpindahan itu telah mencetuskan kembali minat West Bromwich Albion untuk mendapatkan khidmat Fletcher yang telah menghabiskan sepanjang kariernya bersama United iaitu sejak dia berusia remaja.

Pada masa yang sama, van Gaal sendiri tekah menyatakan kesediaannya untuk menerima semula Fletcher, 30, ke dalam skuad utama mereka.

"Dia adalah penolong kapten...saya sentiasa mengalu-alukannya semula ke dalam skuad saya," ujar van Gaal.

Oleh kerana baki kontrak Fletcher bersama United hanya tinggal enam bulan sahaja lagi, mereka terpaksa melepaskannya secara percuma jika ada kelab yang bersedia menerimanya sebagai pemain.

Fletcher, 30, adalah pemain paling lama dalam skuad United sekarang selain penolong pengurus, Ryan Giggs.

Dia telah memenangi segala-galanya bersama United dari juara liga, Piala FA, Piala Capital One, Piala Sumbangsih, Piala Eropah dan Piala Kelab Dunia.

Dia dijejaki oleh Sir Alex Ferguson ketika berusia 15 tahun di scotland lalu terus membawanya ke Akademi kelab tersebut di asuh, digilap dan dididik oleh Ferguson sehingga muncul sebagai salah seorang pemain tengah paling berbakat yang pernah dilahirkan oleh kelab tersebut.

Kini West Bromwich Albion hanya mempunyai tempoh sehingga tengah malam Isnin untuk mendapatkan khidmat Fletcher sebelum pintu perpindahan ditutup.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain