suria

Sukan SEA: 14 Muka Baharu Atlet Silat Mampu Cipta Kejayaan

Mohd Al-Jufferi antara pesilat senior yang akan membawa cabaran Malaysia ke Sukan SEA di Singapura Jun ini.

KUALA LUMPUR: Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) optimis kehadiran 14 muka baharu dalam skuad silat negara tidak akan menjejaskan misi untuk mempertahankan dua pingat emas pada temasya Sukan SEA Singapura yang dijadualkan berlangsung pada 5 hingga 16 Jun depan.

Timbalan Setiausaha Kehormat Pesaka Osman Nok berkata Pesaka tidak menganggap perkara itu sebagai satu kelemahan yang boleh menjejaskan prestasi skuad silat, sebaliknya ianya satu kekuatan apabila adanya gabungan pesilat senior dan pesilat muda yang bakal melengkapi antara satu sama lain.

Katanya, empat pesilat senior yang masih kekal dalam skuad silat negara ialah Mohd Al-Jufferi Jamari, Mohd Fauzi Khalid, Siti Rahmah Mohd Nasir dan Siti Umairah Zabidin.

"Penglibatan pesilat baharu ini tidak akan menjejaskan peluang negara untuk mempertahankan dua pingat emas yang dimenangi pada Sukan SEA Myanmar dua tahun lepas. 

"Mereka telah membuktikan kemampuan mereka di peringkat antarabangsa apabilaberjaya membawa pulang empat pingat perak pada Kejohanan Pencak Silat Dunia Kalike-16 yang diadakan di Stadium Saphan Hin, Phuket, Thailand pada 7 hingga 17 Januari lepas," katanya kepada Bernama.

Menurut beliau empat pingat perak itu disumbangkan Arifuddin Mohd Nasir, Razak Razali, Syed Mohd Huzaimi Syed Hamid dan Mohd Faisal Nasir yang mempersembahkan aksi memberangsangkan pada kejohanan tersebut walaupun kali pertama mereka menyertai kejohanan bertaraf dunia.

Osman berkata Malaysia menduduki tempat keempat keseluruhan dalam kejohanan itu dengan mengutip tiga emas, empat perak dan 13 gangsa.

Beliau berkata tiga pingat emas negara pula disumbangkan pesilat senior iaitu Mohd Al-Jufferi, Siti Rahmah Mohd Nasir dan Siti Umairah. 

Osman berkata kesemua 18 pesilat negara akan memulakan latihan persiapan ke Sukan SEA Singapura 2015 pada 1 Februari ini di Kompleks Sukan Negara Bukit Jalil dan mereka akan menyertai beberapa kejohanan pemanas badan sebelum mengalas cabaran sebenar di Singapura nanti.

"Antara kejohanan besar yang akan disertai pesilat negara ialah Kejohanan Seni Mempertahankan Diri Dunia di Bangkok, Thailand pada 14-21 Mac nanti yang diharap dapat memantapkan lagi persembahan pesilat negara terutama pesilat baharu," katanya.

Katanya, Pesaka masih belum menetapkan sasaran pingat untuk Sukan SEA Singapura, namun beliau percaya mereka mampu mempertahankan dua pingat emas yang dimenangi pada Sukan SEA Myanmar pada dua tahun lepas.

silat, sukan SEA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain