suria

KBS Perkenal Insentif Kepada Pelajar Terlibat PPBN

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan memperkenal beberapa insentif untuk sekolah dan pelajar yang terlibat secara langsung dalam Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN).

Menteri berkenaan, Khairy Jamaluddin berkata PPBN mahu mempelbagaikan corak bantuan di peringkat akar umbi termasuk dari segi kepakaran kejurulatihan dan sains sukan yang dilihat dapat membina jati diri pelatih program itu.

Beliau berkata insentif bagi sekolah rendah berdasarkan kepada sistem pemarkahan yang mana sekolah mengumpul mata tahunan terbanyak akan menerima antara lain bekalan peralatan bola sepak, bantuan penyelenggaraan padang dan klinik bola sepak percuma.

"Bukan satu dua sekolah mempunyai masalah padang tapi di mana-mana sahaja,"katanya ketika menyampaikan ucaptama pada seminar PPBN di Seri Kembangan dekat sini, Isnin.

Di bawah sistem pemarkahan sekolah rendah, mata tertentu diberi kepada sekolah jika pelajarnya antara lain terpilih ke Sekolah Sukan Malaysia atau Akademi Bola Sepak Negara selain mata bagi pelajar yang terpilih ke sekolah sukan negeri, Akademi Tunas atau pusat latihan daerah.  

Insentif lain ialah pelaburan dalam skim amanah saham kelolaan Permodalan Nasional Berhad.

Khairy berkata bagi menggalakkan penyertaan pelajar perempuan, PPBN menyediakan bantuan peralatan bola sepak serta klinik bola sepak bagi yang berumur antara 7 dan 17 tahun, bantuan khidmat jurulatih PPBN, bantuan geran penganjuran pertandingan serta kursus asas bola sepak remaja untuk jurulatih wanita.

Dalam pada itu, beliau berkata seminar itu bertujuan menyelaras hala tuju pihak berkenaan ke arah kelestarian PPBN di samping memperkukuh pentadbiran PPBN di negeri.

Antara cabaran yang perlu dihadapi ialah usaha menjadikan pihak negeri lebih proaktif, mengelak sifat 'kewilayahan' atau mengutamakan kemenangan pasukan tanpa memikirkan pembangunan sukan itu sendiri, selain perlunya jurulatih keluar daripada zon selesa.

Turut hadir, Pengarah Bahagian Sukan Kementerian Pendidikan Datuk Marina Chin, Penyelaras Teknikal PPBN Lim Teong Kim, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Ahmad Shapawi Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN) Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz dan Pengarah Teknikal FAM Fritz Markus Schmid. 

PPBN

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain