suria

KFA Sokong FAM Isu Pembahagian Pendapatan Hak Penyiaran

Othman Aziz.

ALOR SETAR: Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) menyokong penetapan jumlah pembahagian perjanjian dan komersial penyiaran antara Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan syarikat peneraju media antarabangsa, MP & Silva.

Naib Presiden KFA, Datuk Othman Aziz berkata, penetapan itu selaras dengan fungsi dan tugas berat dipegang badan induk bola sepak negara itu dari aspek pembangunan bola sepak tanah air.

"Jadi dengan adanya pendapatan ini, FAM akan merancang untuk pembangunan bola sepak negara, mengurus bola sepak kebangsaan dan mengurus pelbagai pertandingan," katanya kepada pemberita di sini, Ahad.

Pada Sabtu, Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengulangi gesaan baginda supaya FAM bersikap lebih telus dan jujur dalam pembahagian keuntungan yang bakal diraih menerusi penubuhan Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP).

Tunku Mahkota Johor itu berkata, pasukan bertanding hanya dianggarkan memperoleh 30 peratus atau kira-kira RM1 juta setahun. 

Mengulas lanjut, Othman berkata jumlah 30 peratus ditetapkan FAM itu adalah bersesuaian dan agak 'lumayan'.

"Pada masa sama, sistem rating baharu di mana negeri akan diberi ganjaran mengikut kedudukan pasukan dengan johan liga akan dapat banyak. Ini pun satu insentif patut kita sokong yang menjadi pendorong kepada pasukan negeri," katanya.

Berhubung isu Gary Steven Robbat, Othman berkata Jawatankuasa Status Pemain FAM seharusnya memperkemas klausa berkenaan perjanjian dan status pemain bagi memastikan isu bekas pemain Harimau Muda itu tidak berulang.

Beliau berkata, proses 'mengenal pasti bakat' oleh pasukan negeri tidak seharusnya dinafikan FAM, misalnya terdapat pemain berasal dari Jerlun, Kedah yang menyertai program pembangunan bola sepak negara serta mewakili pasukan bawah 12 tahun Malaysia dan berlatih di Jerman dan England.

"Jadi apakah status anak-anak ini, adakah apabila dia sudah berumur 17 tahun, kemudian dia masuk FAM?," katanya sambil meminta FAM menyediakan kontrak perjanjian yang jelas agar tiada lagi kekeliruan pada masa akan datang.

Artikel Lain