suria

Lima GP F1 Akan Bermula Sejam Awal Termasuk GP Malaysia

Jentera Marussia yang dipandu oleh Jules Bianchi ini dalam hujan lebat dan cahaya malap di GP Jepun Oktober lalu terlibat dalam kemalangan yang hampir-hampir meragut nyawanya.

> Keputusan ini dibuat ekoran kemalangan yang menimpa Jules Bianchi Di GP Jepun

> Pemandu Perancis itu hampir terbunuh dalam kemalangan di bawah cahaya malap

> Pengendali Formula 1 berazam untuk elak kejadian yang serupa

> GP Australia, Malaysia, China, Jepun dan Rusia akan bermula sejam awal

> Ini bermakna GP Malaysia Mac ini akan bermula jam 3 petang bukan jam 4 petang seperti selalu

LIMA perlumbaan GP Formula Satu musim ini akan bermula sejam awal untuk mengelak kejadian yang menimpa pemandu Perancis, Jules Bianchi pada GP Jepun Oktober tahun lalu yang hampir meragut nyawanya.

Kereta yang dipandu Bianchi merempuh jentolak yang sedang mengangkat sebuah lagi kereta F1 yang terlibat dalam kemalangan pada GP Jepun dalam hujan lebat dan cahaya yang malap.

Insiden itu hampir-hampir meragut nyawanya. Bianchi yang memandu untuk pasukan Marussia berada di dalam koma selama beberapa hari ekoran kemalangan itu.

Ini telah mendorong badan penganjur sukan lumba kereta itu, FIA membentuk sebuah panel khas kemalangan yang dianggotai oleh bekas-bekas pengendali pasukan F1 seperti Ross Brawn, Stefano Domenicali dan Emerson Fittipaldi untuk mengkaji, menilai dan mengemukakan syor yang boleh mengelak kejadian yang sama daripada berulang.

Salah satu daripada syor mereka ialah untuk memastikan mana-mana GP yang berpotensi untuk berhadapan dengan suasana cahaya malap akibat hujan lebat atau faktor cuaca yang lain hendaklah mengadakan perlumbaan sejam lebih awal daripada tahun-tahun sebelumnya melainkan untuk GP yang mengadakan perlumbaan pada waktu malam sepenuhnya.

Ini bermakna, perlumbaan GP Australia, Malaysia, China, Jepun dan Rusia yang biasanya bermula selepas tengah hari akan bermula sejam lebih awal.

Dengan perubahan ini, pembuka tirai perlumbaan musim ini iaitu GP Australia yang akan berlangsung di Albert Park Melbourne akan bermula pada jam 4 petang waktu tempatan; GP Malaysia pada jam 3 petang; manakala untuk GP China, Jepun dan Rusia kesemuanya akan bermula pada jam 2 petang.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain