suria

22 Pasukan Sah Sertai LTdL 2015

Khairy menunjukkan salah satu laluan dalam perlumbaan LTdL 2015.

PUTRAJAYA: Sebanyak 22 pasukan telah mengesahkan penyertaan bagi perlumbaan jelajah berbasikal terunggul Asia, Le Tour de Langkawi (LTdL), edisi ke-20 yang akan bermula 8 hingga 15 Mac ini.

Ketua Pegawai Eksekutif LTdL 2015, Datuk Malik Mydin berkata setakat ini dua pasukan terawal mengesahkan penyertaan ialah Torku Sakerspor dari Turki dan Orica-GreenEDGE dari Australia dan pihaknya akan mengumumkan nama-nama pelumba serta pasukan yang lain secara berperingkat.

Bagi edisi kali ini, Malik berkata perlumbaan akan bermula di Pulau Langkawi, tempat lahirnya acara jelajah berbasikal berprestij itu.

Jarak perlumbaan sejauh 1,104.9km itu akan turut melibatkan laluan beberapa negeri Pantai Timur sebelum berakhir di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, yang kembali menjadi venue penamat selepas kali terakhir pada 2011.

"Kita masih berunding dengan kerajaan negeri Terengganu, kita tiada masalah untuk tamat di sana sekiranya bersesuaian dengan jumlah penajaan yang diberikan tetapi saya percaya semua pihak bersetuju perlumbaan kali ini tamat di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur," katanya pada sidang media selepas majlis pengumuman laluan perlumbaan LTdL 2015 pada Rabu.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin. Sebagai rekod, bermula pada 2012, perlumbaan LTdL berakhir di Kuala Terengganu sehingga edisi ke-19 tahun lepas.

Malik, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif, Human Voyage Sdn Bhd, berkata walaupun perlumbaan dipendekkan kepada lapan peringkat berbanding 10 sebelum ini, beliau percaya perlumbaan tetap memberikan cabaran hebat kepada semua pelumba yang mengambil bahagian.

Dalam pada itu, Khairy berkata beliau yakin penganjuran itu tetap memberi cabaran kepada pelumba-pelumba terkemuka walaupun laluan telah dipendekkan.

"Seperti edisi yang lepas, laluan yang diumumkan hari ini akan memberikan cabaran kepada pasukan yang mengambil bahagian, walaupun tahun ini tidak melalui Cameron Highlands, tetapi ada laluan yang akan membawa pelumba ke Banjaran Titiwangsa. |

"Kita perlu memberi peluang kepada Human Voyage (penganjur baharu) untuk mengendalikan penganjuran berprestij ini," kata Khairy.

Perlumbaan lapan peringkat itu menyajikan satu laluan terpanjang iaitu pada peringkat kelima dari Kuala Terengganu ke Kuantan sejauh 200km, manakala jarak terpendek adalah sejauh 96.1km iaitu pada peringkat terakhir yang bermula di Kuala Kubu Baharu yang melibatkan laluan loop di Kuala Lumpur sebelum tamat di Dataran Merdeka.

Turut menarik perhatian, perlumbaan tahun ini turut menyajikan peringkat pendakian khususnya pada peringkat ketiga iaitu dari Gerik ke Tanah Merah dan peringkat ketujuh ke Genting Highlands.

LALUAN PERLUMBAAN LTDL 2015:

Peringkat 1: Langkawi (101.1km)

Peringkat 2: Alor Setar-Sungai Petani (170km)

Peringkat 3: Gerik-Tanah Merah (170km)

Peringkat 4: Kota Baharu-Kuala Berang (165.4km)

Peringkat 5: Kuala Terengganu-Kuantan (200km)

Peringkat 6: Maran-Karak (96.6km)

Peringkat 7: Shah Alam-Genting Highlands (105.7km)

Peringkat 8: Kuala Kubu Baharu-Kuala Lumpur Loop (96.1km)

LTDL 2015

Artikel Sebelum

Keputusan Divisyen 1

Artikel Berikut

Artikel Lain