suria

Harimau Kumbang Tidak Ada Formasi Khusus - Tiago

Thiago (kanan) bergambar bersama tiga pemain baharu (dr kiri) Hilton Mauro Moreira, Alberto Goncalves Da Costa dan Reinaldo Rodrigues De Oliveira Lobo bulan lalu.

GEORGE TOWN: Skuad Harimau Kumbang tidak akan terikat dengan formasi khusus dalam berdepan saingan Liga Perdana yang akan bermula bulan depan, kata jurulatih Jacksen Ferreira Tiago.

Beliau berkata adalah lebih penting untuk memperkemas posisi yang dilihat 'kurang menjadi' dalam tujuh siri perlawanan persahabatan pramusim 2015 sebelum ini.

"Formasi itu hanya sekadar angka. Saya tidak ada formasi tertentu yang saya sukai. Jika pemain tidak dapat mengikuti formasi itu, maka ia tidak membawa makna apa-apa," katanya kepada pemberita selepas selepas pertembungan dengan Selangor pada Jumaat malam.
|
Setakat ini Pulau Pinang mencatat rekod tanpa kalah iaitu Sime Darby FC 3-0;MIF 2-1; Selangor 2-0 dan seri 1-1 dengan Johor Darul Takzim (JDT) serta seri tanpa jaringan dengan Perak dan Perlis.

Beliau mengingatkan pemain supaya tidak terbuai dengan kejayaan itu kerana masih ada ruang yang perlu diperbaiki terutama melibatkan aspek serangan dan pertahanan.

Mengaku meletakkan sedikit tekanan pada anak buahnya, Tiago berkata ia bertujuan meneroka potensi sebenar pemain dan berpuas hati dengan peningkatan prestasi yang ditunjukkan.

Bekas pengendali pasukan kebangsaan Indonesia itu turut mendapati tahap keserasian dan kawalan bola pemain semakin baik dan senarai kesebelasan utama sudah sedia 90 peratus sebelum dimuktamadkan. 

Sementara, itu Presiden Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) Datuk Seri Nazir Ariff Munshir Ariff yakin sentuhan samba jurulatih dari Brazil itu mampu meletakkan Pulau Pinang dalam kelompok dua teratas Liga Perdana.

"Saya lihat disiplin dan semangat juang pemain semakin meningkat dan mula terbiasa dengan corak latihan Tiago," katanya. 

Pulau Pinang dijadual berdepan Kuantan FA di Stadium Bandaraya pada aksi pembuka Liga Perdana 6 Februari ini.

Harimau Kumbang, Pulau Pinang

Artikel Sebelum

Poland Kalahkan Mexico 6-0

Artikel Berikut

Artikel Lain