suria

Kapten Perlis Umum Bersara, Lega Isu Tunggakan Gaji Selesai

Mohd Khairi Zainudin

PETALING JAYA: Kapten pasukan Perlis musim lalu, Mohd Khairi Zainudin berlapang dada apabila isu tunggakan gaji pemain dengan Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) berakhir dengan baik.

Seramai 12 pemain Perlis tidak menerima gaji sejak Jun lalu sehingga memaksa Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) campur tangan mencari jalan penyelesaian.

"Semuanya sudah selesai dan saya minta agar perkara ini tidak dipanjangkan lagi.

"Perbincangan yang dibuat hari ini (Rabu) telah mencapai kata sepakat dan saya mewakili pemain-pemain lain sangat berpuas hati.

"Ia dianggap sebagai hadiah tahun baru kepada pemain dan terima kasih kepada Datuk Rozabil Abdul Rahman (Presiden PFA) dan ahli exco persatuan.

"Saya gembira kerana perbincangan ini merupakan langkah pertama untuk mencari penyelesaian dan terus mendapat keputusan yang baik.

"Saya harap pada masa depan tidak ada lagi perkara sebegini akan berlaku," jelasnya ketika ditemui media.

Khairi,37, yang mengambil keputusan bersara dari dunia bola sepak bermula tahun ini mengakui perbincangan ini dipersetujui oleh semua pihak.

"Malah kami tidak perlu risau kerana bayaran akan dibuat melalui Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). Semua rekod ada di situ.

"Mengenai masa depan pemain-pemain lain bersama Perlis, ia bergantung kepada keputusan individu itu sendiri selepas tawaran diberi," tambah pemain kelahiran Kuala Lumpur ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PFAM, Izham Ismail turut bersyurkur apabila isu dapat diselesaikan.

"Harap selepas selesainya masalah ini, kita menoktahkan kesengsaraan yang dialami pemain-pemain malah dalam masa sama ia menjadi contoh serta tauladan kepada pasukan lain agar tidak mengambil remeh dengan isu gaji atau kontrak pemain.

"Kami di pihak PFAM sangat berpuas hati dan berterima kasih kepada PFA, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kerana bekerjasama dalam usaha menyelesaikan masalah ini.

"Keterbukaan semua pihak membolehkan masalah ini selesai dengan baik dan berharap hubungan baik ini berterusan," katanya.

PFA, Khairi Zainuddin, PFAM

Artikel Sebelum

Gerrard Sah Sertai LA Galaxy

Artikel Berikut

Artikel Lain