suria

Isu Doping Chong Wei Perlu Jadi Iktibar - Simon Santoso

Norman (kiri) bersama Kim Hock (kanan) menunjukkan jersi yang akan digunakan oleh pemain badminton Kelab Badminton Klang United, Simon Santoso (tiga kiri) dan Derek Wong Zi Liang (dua kanan) pada majlis menandatangani penajaan antara kelab itu dan agensi itu di Wisma Peters di sini, Isnin. Turut bersama Penolong Pengurus Pemasaran Li-Ning, Alvin Soon (dua kiri). -

PETALING JAYA: Pemain badminton Indonesia, Simon Santoso menyifatkan isu doping yang melibatkan pemain badminton utama negara, Datuk Lee Chong Wei perlu dijadikan pengajaran buat semua pemain badminton baik di Malaysia mahupun di negara lain.

Beliau berkata, kes yang melibatkan jaguh Malaysia tersebut perlu diambil iktibar supaya pemain lain lebih berhati-hati dalam segala jenis tindakan yang boleh mendatangkan risiko khususnya dalam pengambilan ubat-ubatan.

"Kejadian tersebut mengajar kita untuk lebih berwaspada dalam segala hal dan saya berharap Chong Wei dapat segera kembali beraksi dalam sukan badminton  kerana beliau adalah antara pemain terbaik dunia," katanya kepada pemberita.

Simon menghadiri majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi penajaan pemain Kelab Badminton Klang United (Klang United) dengan NPG Agency Sdn Bhd di sini, Isnin.

Chong Wei kini digantung sementara oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas didapati positif menggunakan bahan terlarang 'dexamenthasone' ketika beraksi pada Kejohanan Dunia di Copenhagen, Denmark, Ogos tahun lepas.

Simon mewakili Klang United dalam liga profesional Kopiko Purple League yang berlangsung dari 25 Nov sehingga 1 Februari.

Beliau berkata, beliau akan cuba mempersembahkan aksi cemerlang dan berharap kelabnya muncul pasukan terbaik.

Selain Simon, NPG Agency Sdn Bhd turut menaja Derek Wong dari Singapura yang bermain untuk kelab berkenaan.

Liga badminton yang menawarkan hadiah keseluruhan RM2 juta itu disertai 12 kelab tempatan yang turut melibatkan pemain import serta beberapa pemain elit negara seperti Chong Wei Feng, Tan Boon Heong dan Goh V Shem.

Kejohanan turut menampilkan pemain luar seperti Nguyen Thien Minh dari Vietnam, Vita Marissa serta Markis Kido dari Indonesia dan Robert Blair dari England.

Kesemua pemain akan bertanding atas tiket kelab masing-masing antaranya Kelab Badminton Petaling Jaya, Kelab Badminton Nusajaya dan Kelab Badminton Bandar Muar.

Setiap kelab menghantar wakil dalam empat kategori iaitu perseorangan lelaki, perseorangan wanita, beregu lelaki dan beregu campuran.

Simon Santoso, doping, Chong Wei

Artikel Lain