suria

Red Devils Akan Turunkan Barisan Terkuat

Pemain Tengah United, Juan Mata meraikan gol yang dijaringkan Radamel Falcao ketika menentang Aston Villa, Ahad lalu.

LONDON: Perlawanan Manchester United menentang Newcastle United dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), Jumaat dijangka hebat selepas Louis van Gaal dengan begitu yakin pemainnya kini bebas daripada sebarang kecederaan serius.

Pengendali Red Devils itu ternyata gembira kerana dapat menurunkan barisan terkuatnya pada perlawanan itu nanti.

“Hanya segelintir pemain masih cedera, tetapi tidak mengapa ia kecederaan ringan dan mereka boleh beraksi,” katanya.

Selepas terlepas perlawanan ketika United seri 1-1 menentang Aston Villa minggu lalu, kini Daley Blind, Marcos Rojo, Luke Shaw, Marouane Fellaini, Ander Herrera dan Chris Smalling kembali pulih dan bersedia untuk diturunkan dalam pertemuan menentang Newcastle.

United mahu bangkit semula selepas keputusan seri sebelum ini telah menamatkan rekod enam kemenangan berturut-turut yang dicatat pasukan itu.

“Kami mahu menjadikan Old Trafford sebagai kubu, ia berjaya dilakukan setakat ini dengan mencatat banyak kemenangan menerusi keputusan yang memuaskan," tambah Van Gaal lagi.

Red Devils akan bertandang ke Tottenham, Ahad ini dan Stoke City pada Khamis depan sebelum meneruskan aksi pusingan ketiga Piala FA bertemu Yeovil.

Kata Van Gaal, permainnya akan lebih banyak melakukan serangan setiap kali pasukannya bermain di tempat lawan berbanding di laman sendiri.

“Sebab itu kami ada beberapa corak permainan berbeza untuk disesuaikan dengan perlawanan.

“Apa pun, adalah penting buat kami menguasai permainan, sekurang-kurangnya dalam 45 atau 60 minit,” katanya.


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain