suria

Harimau Malaya Ke Akhir Piala AFF Suzuki Bukti 'Sentuhan Ajaib' Dollah Salleh

Dollah Salleh.

KUALA LUMPUR: Kejayaan Malaysia mara ke final Kejohanan Bola Sepak Piala AFF Suzuki 2014, yang melabuhkan tirai di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini malam Sabtu, membuktikan Dollah Salleh mempunyai 'sentuhan ajaib' dalam membawa skuad negara melangkah lebih jauh.

Dollah yang mula mengambil alih 'kerusi panas' itu daripada Datuk K. Rajagobal pada Julai lepas, melakar kejayaan dengan membawa skuad Harimau Malaya layak ke final walaupun banyak pihak meragui kemampuan beliau membentuk pasukan mantap dalam tempoh singkat.

Skuad itu, yang hanya sempat berkumpul bagi sesi latihan pusat selama dua bulan, membuktikan kemampuan dengan mara ke final sebelum kalah dengan agregat 3-4 kepada juara tiga kali, Thailand.

Malaysia menang 3-2 ke atas Thailand pada aksi timbal balik malam Sabtu, namun gagal meraih kejuaraan kedua selepas 2010, berikutan kekalahan 0-2 pada final pertama di Stadium Nasional Rajamangala, Bangkok, Rabu lepas.

Untuk rekod, Malaysia meraih kejuaraan sulung Piala AFF pada 2010 di bawah Rajagobal menerusi agregat 4-2 ke atas Indonesia.

Kehadiran lebih 90,000 penyokong pada aksi timbal balik malam tadi wajar diberi pujian kerana mereka masih percaya dengan corak taktikal Dollah walaupun sebelum ini, beliau dikritik kerana sering membariskan beberapa pemain berusia dalam perlawanan peringkat kumpulan B yang berlangsung di Singapura dari 23 hingga 29 November lepas.

Mengimbau perjalanan skuad Harimau Malaya dalam kejohanan edisi ke-10 itu, mereka bermula dengan langkah sumbang selepas seri tanpa jaringan menentang Myanmar pada aksi pembukaan kumpulan B di Stadium Jalan Besar, Singapura, 23 November lepas sebelum kalah 2-3 kepada Thailand di venue sama tiga hari kemudian.

Dollah bijak mencatur strategi dengan mempertaruhkan pemain veteran seperti Indra Putra Mahayuddin dan Mohd Badhri Mohd Radzi pada aksi terakhir menentang Singapura di Stadium Nasional Kallang, 29 Nov lepas yang menyaksikan Malaysia mara ke separuh akhir menerusi kemenangan bergaya 3-1.

Pengendali kelahiran Melaka itu sekali lagi membuktikan sentuhan beliau menjadi apabila Malaysia menundukkan Vietnam dengan agregat 5-4 pada saingan separuh akhir untuk mara ke final.

Skuad Harimau Malaya yang kalah 1-2 pada aksi pertama di Stadium Shah Alam, 7 Disember lepas, bangkit melakar kemenangan bergaya 4-2 di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi, Vietnam.

Kapten pasukan, Muhammad Shukor Adan yang ditemui pemberita selepas final kedua malam Sabtu, menyifatkan Dollah mempunyai sentuhan berbisa dan yakin jurulatih itu mampu membimbing pasukan negara meraih lebih banyak kejayaan pada masa akan datang.

"Sebelum kejohanan bermula, ramai pihak memandang rendah kemampuan Dollah serta pemain senior yang ada dalam skuad ini tapi akhirnya, kami buktikan kepada mereka kami berjaya ke final.

"Beri peluang kepada Dollah untuk merealisasikan harapan rakyat Malaysia bagi menaikkan mutu bola sepak negara. Apa yang Dollah buat pada perlawanan ini serta perlawanan terdahulu, kita harus hargai," kata pemain berusia 35 tahun itu yang membuat penampilan terakhir bersama skuad kebangsaan malam Sabtu.

Bekas pemain kebangsaan era 70-an, Bakri Ibni turut bangga dengan kejayaan Dollah yang berjaya meningkatkan mutu persembahan skuad Harimau Malaya walaupun diberi tempoh singkat untuk mempersiapkan pasukan bagi menghadapi kejohanan itu.

Beliau bagaimanapun menggesa pemain skuad Harimau Malaya supaya mengubah mentaliti dengan memberi fokus lebih jauh, iaitu beraksi di kejohanan benua Asia.

"Saya cukup bangga dengan kejayaan Dollah yang berjaya meningkatkan prestasi pemain ke tahap yang boleh dipuji namun kejayaan sebenar adalah apabila kita dijemput beraksi menentang jaguh bola sepak Asia seperti Jepun dan Korea Selatan tidak kira dalam perlawanan persahabatan atau kejohanan Asia.

"Kita sepatutnya berada sebaris dengan mereka sebagaimana yang pernah dilakukan bekas pemain pada era kegemilangan bola sepak negara sekitar 60-an dan 70-an," jelas bekas pengendali pasukan Perlis itu.

Piala AFF Suzuki 2016 yang dianjurkan bersama Filipina dan Myanmar, bakal menjadi medan terbaik kepada Dollah, andai dikekalkan sebagai jurulatih, bagi menebus kekecewaan skuad Harimau Malaya dan jutaan rakyat Malaysia, malam Sabtu.

Artikel Lain