suria

Iskandar Muncul Penyumbang Emas Ke-40 Kontinjen Malaysia

Iskandar Zulkarnain menunjukkan mutu permainan cemerlang apabila berjaya merangkul pingat emas ke-40 negara menerusi badminton perseorangan lelaki di Palembang, Sabtu.

PALEMBANG: Pemain badminton perseorangan lelaki negara Iskandar Zulkarnain Zainudin muncul penyumbang pingat emas ke-40 pada Sukan Universiti Asean (AUG) ke-17 Palembang di Stadium GOR Dempo Jakabaring.

Iskandar mudah menewaskan pencabarnya Ashton Chen dari Singapura dengan  straight set 21-12 dan 21-14.

Kejayaan Iskandar itu sekali gus mencapai sasaran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada temasya dwitahunan itu kali ini.

Iskandar ketika ditemui berkata beliau berpuas hati pada penampilan sulung di AUG kali ini kerana dapat memberikan kemenangan berganda kepada kontinjen negara.

"Pada perlawanan tadi, saya tidak berasa terlalu tertekan sebab Ashton pun sudah lama keluar daripada skuad kebangsaan Singapura dan lama tidak berlatih jadi satu kelebihan kepada saya.

"Kami (skuad badminton) tahu kontinjen masih memerlukan satu lagi pingat emas untuk mencapai sasaran jadi kami lebih fokus untuk memastikan sasaran tercapai," katanya.

Terdahulu Mohd Lutfi Zaim Abd Khalid dan Chow Mei Kuan mengesahkan pingat emas ke-39 selepas menewaskan rakan sepasukan mereka Mohammad Arif Ab Latif dan Lee Meng Yean dengan straight set 22-20 dan 21-19.

Kemudian Mei Kuan dan Meng Yean bergandingan dalam acara beregu wanita pula terpaksa akur dengan pingat perak selepas kalah kepada beregu Thailand, Jongkolphan Kititharakul dan Rawida Prajongjai dengan 11-21, 21-13 dan 13-21.

Turut menyumbang pingat perak, beregu lelaki negara Jagdish Singh dan Vountus Indra Mawan Saniru terpaksa berpuas hati dengan pingat perak selepas tewas kepada beregu tuan rumah, Indonesia, Adiartama Arya Maulana dan Kevin Sanjaya Sukamulyo dengan 11-21, 21-18, 17-21.

Secara keseluruhan badminton menyumbangkan tiga pingat emas termasuk satu dalam acara berpasukan lelaki baru-baru ini. Selain itu skuad badminton meraih dua pingat perak dan sebutir pingat gangsa.

Pingat gangsa itu menerusi acara berpasukan wanita.

Artikel Berikut

Artikel Lain