suria

Najib Beri Suntikan Semangat Kepada Harimau Malaya Di Bukit Jalil

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melambai ke arah penyokong ketika turun padang bagi memberi sokongan kepada Pasukan Kebangsaan Harimau Malaya pada final kedua Piala AFF Suzuki 2014 Malaysia menentang Thailand di Stadium Bukit Jalil di Kuala Lumpur, Sabtu. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Skuad Harimau Malaya menerima suntikan semangat yang amat bermakna menjelang pertemuan dengan Thailand untuk aksi kedua final kejohanan bola sepak Piala AFF 2014 apabila dikunjungi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di bilik persalinan pasukan negara di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, Sabtu.

Najib, yang tiba di stadium itu pada 7 petang, terus ke bilik persalinan dan bersalaman dengan para pemain dan pegawai pengurusan pasukan sebelum menunaikan solat Maghrib bersama mereka.

Selesai solat, perdana menteri kemudian meluangkan masa kira-kira 15 minit memberikan kata-kata semangat kepada pasukan kebangsaan sebelum sepak mula dijadual bermula 8 malam.

Antara lain, Najib meminta skuad Harimau Malaya berusaha untuk menebus kekalahan mereka kepada Thailand malam Sabtu.

Beliau berkata, kemenangan tiga gol yang diperlukan itu bukanlah sesuatu yang mustahil kerana pasukan negara telah melakukan keajiban pada perlawanan separuh akhir lepas dengan menewaskan Vietnam.

"Ramai antara kita tidak sangka kita mampu melakukannya (menewaskan Vietnam), tetapi kita telah membuktikannya. Saya percaya setiap daripada kita mampu melakukan perkara itu sekali lagi malam ini," kata Najib sambil disambut tepukan gemuruh para pemain dan pengurusan Harimau Malaya.

Para pemain yang dipimpin jurulatih Dollah Salleh kelihatan terharu dengan kunjungan Najib dan kata-kata semangat yang disampaikan beliau.

Rata-rata mereka menganggap kunjungan dan kata-kata semangat pemimpin utama negara itu amat penting terutama pada saat-saat akhir sebelum perlawanan, bagi menyatakan hasrat dan harapan menggunung kerajaan dan rakyat Malaysia keseluruhannya terhadap skuad Harimau Malaya.

Tugas sukar sememangnya menanti Harimau Malaya apabila mereka perlu mencari kelebihan tiga gol, selepas tewas 0-2 kepada Thailand dalam aksi final pertama di Stadium Nasional Rajamangala, Bangkok, Rabu lepas.

Namun, dengan kata-kata semangat daripada Najib selain sokongan padu rakyat Malaysia, Harimau Malaya diharap dapat melakukan aksi luar biasa seperti dipamerkan pada separuh akhir semasa menewaskan Vietnam 4-2 di Hanoi.

Artikel Lain