suria

Barca vs Cordoba, Neymar Bakal Beraksi Semula

BARCELONA: Neymar yang kini pulih daripada kecederaan buku lali memberi harapan kepada pasukannya untuk menamatkan aksi tahun ini dengan kemenangan.

Barcelona akan menentang Cordoba untuk Liga Sepanyol di tempat sendiri malam Sabtu.

Kehadiran Neymar disahkan kelab berkenaan pada Jumaat. Sebelum ini, bukan sahaja Neymar, malahan dua lagi tonggak utamanya, Lionel Messi dan Luis Suarez juga cedera.

Bagi pemain Brazil itu, kali terakhir mewakili kelabnya adalah pada 10 Disember lalu ketika menentang Paris St Germain dengan kemenangan 3-1 pada saingan Liga Juara-Juara.

Bagaimanapun, pemain sensasi itu tidak dapat beraksi minggu lalu yang berakhir dengan seri 0-0 ketika berhadapan Getafe serta perlawanan Selasa menentang Huesca dengan kemenangan 8-1 memihak kepada Barca.

Neymar kembali menjalani latihan bersama skuad itu pada Jumaat sebelum mendapat 'lampu hijau' daripada pasukan perubatan untuk diserapkan sebagai kesebelasan utama.

Berdasarkan pencapaian semasa, Barcelona ketinggalan empat mata di belakang pendahulu, Real Madrid.

"Kami mahu mencatat kemenangan untuk Liga Sepanyol ketika menentang Cordoba untuk memberi sedikit kegembiraan kepada penyokong kami, oleh itu perlawanan ini penting,” kata pemain tengah Barcelona, Ivan Rakitic.

Walaupun nasib tidak menyebelahi pasukan itu musim lalu, tetapi seorang lagi pemain tengahnya, Xavi Hernandez optimis untuk menamatkan kemarau piala yang dialami oleh kelab itu musim ini.

“Semangat kami tidak pernah pudar. Kami akan terus berjuang. Ia sememangnya sukar tetapi kami percaya boleh menjuarai liga, Copa del Rey dan Liga Juara-Juara,” ujar pemain bintang veteran Barcelona itu.


Barcelona, Neymar, Cordoba

Artikel Berikut

Artikel Lain