suria

V Shem/Wee Kiong, Nicol Dinobat Olimpian 2014

Wee Keong (kiri) dan Naib Presiden Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) Linda Geh (kanan) yang mewakili Nicol selepas dinobatkan sebagai pemenang 'Olympian of the Year' pada majlis Anugerah Olympian 2014 di Kuala Lumpur pada Rabu. -fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Beregu badminton negara, Goh V Shem dan Tan Wee Kiong serta ratu skuasy negara, Datuk Nicol David dinobatkan sebagai Olimpian Lelaki dan Wanita 2014 Majlis Olimpik Malaysia (MOM) pada Rabu.

Beregu tersebut dipilih atas pencapaian dua pingat emas dalam acara berpasukan dan beregu di Sukan Komanwel 2014 di Glasgow, Scotland dan dua pingat gangsa dalam acara sama pada Sukan Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan.

V Shem dan Wee Kiong menjadi beregu badminton negara keempat merangkul anugerah tersebut selepas Cheah Soon Kit/Yap Kim Hock (1996), Chong Tan Fook/Lee Wan Wah (2000) dan Koo Kien Kiat/Tan Boon Heong pada 2006.

Nicol pula merangkul gelaran ketiganya selepas 1998 dan 2010.

Nicol pula menjadi pilihan Jawatankuasa Anugerah MOM pada tahun ini apabila memenangi dua pingat emas individu dan berpasukan di Sukan Asia dan satu emas acara berpasukan di Sukan Komanwel.

Bagaimanapun, Nicol tidak dapat hadir pada majlis penyampaian tersebut kerana bersaing pada Kejohanan Skuasy Wanita Dunia 2014 di Mesir.

Anugerah itu diterima oleh Naib Presiden Persatuan Skuasy Malaysia (SRAM), Linda Geh manakala Wee Kiong mewakili V Shem.

Kedua-dua anugerah itu masing-masing membawa ganjaran RM10,000 dan pingat khas oleh penaja Coca-Cola yang disampaikan oleh Presiden MOM, Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja'afar.

Sementara itu, Wee Kiong menyifatkan pengiktirafan itu sebagai suntikan semangat kepada gandingan itu untuk terus maju dan melayakkan diri ke Sukan olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil.

Katanya kerjasama dan komunikasi yang baik antara beliau dan V Shem bakal menjadi kunci kejayaan mereka pada Sukan Olimpik 2016.

Majlis berkenaan turut dihadiri Pengurus Besar Coca-Cola bagi rantau Singapura-Malaysia-Brunei, Gill McLaren.

Anugerah Olimpian adalah acara tahunan yang dianjurkan MOM sejak 1993 untuk mengiktiraf pencapaian atlet lelaki dan wanita negara.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain