suria

Terengganu Mahu Wujud Akademi Sukan Negeri Pertama

Atlet berbasikal negara, Fatehah Mustapa menerima piala pusingan daripada Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif (dua kiri) selepas dinobatkan Olahrawati Negeri 2013/2014 pada Majlis Anugerah Sukan Terengganu (AST) 2013/2014 di Kuala Terengganu, malam Selasa. Fatehah menerima piala pusingan, piala replika, sijil dan wang tunai sebanyak RM7,000. - fotoBERNAMA
KUALA TERENGGANU: Terengganu bakal menjadi negeri pertama di negara ini yang menubuhkan Akademi Sukan Negeri (ASN), kata Menteri Besar Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman.

Ketika mengumumkan perkara itu, beliau berkata ASN boleh menjadi platform penyambung khidmat bagi bekas pelajar-pelajar sekolah sukan negeri ini.

"Apa akan jadi kepada atlet yang keluar daripada sekolah sukan pada masa akan datang... sebab itu kerajaan ambil inisiatif buat ASN," katanya kepada pemberita selepas majlis Anugerah Sukan Terengganu di sini, Selasa.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia Negeri Datuk Rozi Mamat dan bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara Datuk Seri Zolkples Embong.

Ahmad Razif berkata akademi sukan seperti ASN yang dirancangkan ini belum lagi wujud di mana-mana di negeri ini setakat ini.

"Kita telah meminta Rozi supaya melihat perkara ini supaya ASN dapat dilaksanakan dalam masa terdekat," katanya.

Menurutnya kerajaan negeri mahukan atlet-atlet Terengganu mencipta kejayaan dalam bidang sukan selain mempunyai pekerjaan selepas keluar daripada ASN nanti.

Ahmad Razif berkata kerajaan negeri akan memberikan 10 biasiswa dalam bidang sukan kepada atlet setiap tahun untuk melanjutkan pelajaran sehingga ke peringkat doktor falsafah (PhD).

Beliau berkata kerajaan akan memastikan atlet berkenaan berkhidmat di Terengganu apabila tamat pengajian supaya mereka boleh membantu membangunkan lagi sukan di negeri ini.

Artikel Sebelum

Artikel Lain