suria

THT Tutup Tirai 2014 Dengan Gelaran Kejuaraan Berganda

Terengganu Hockey Team (THT) meraikan kejayaan apabila berjaya menjulang piala kejuaraan TNB MHL selepas menewaskan Kuala Lumpur Hockey Club (KLHC) pada perlawanan akhir pada Ahad.

KUALA LUMPUR: Juara Liga Hoki Malaysia (MHL) 2014, pasukan Terengganu Hockey Team (THT) menutup tirai musim ini dengan penuh bergaya selepas muncul juara Piala TNB.

Pada aksi final penuh dramatik di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil pada Ahad, THT kendalian Sarjit Singh meraih kemenangan tipis 2-1 ke atas Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) pada penentuan pukulan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 3-3 pada masa penuh perlawanan.

Kejayaan itu membolehkan THT membawa pulang wang tunai RM70,000 dan PialaTNB yang disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia Negeri Terengganu Datuk Rozi Mamat kepada kapten THT, Mohd Shahrun Nabil Abdullah manakala KLHC meraih RM50,000 selaku naib juara.

Lebih manis, tiga pemain THT iaitu pasangan adik-beradik Mohd Fitri dan Faizal Saari masing-masing dinobat selaku pemain terbaik perlawanan akhir dan penjaring gol terbanyak dengan 17 gol selain Mohd Hafizuddin Othman yang dipilih selaku penjaga gol terbaik.

Ketiga-tiga mereka menerima wang tunai RM2,000 setiap seorang.

Pada aksi itu, pasukan THT menguasai babak awal perlawanan dan hanya memerlukan 6 minit untuk membuka tirai jaringan hasil pukulan sudut penalti yang disempurnakan bekas penyerang negara, Faizal Saari.

Adik Faizal, Mohd Fitri menambah duka untuk KLHC, selang 3 minit kemudian menerusi jaringan sama sebelum Faizal melakar gol peribadi kedua pada minit ke-31 menerusi jaringan padang dan keputusan tersebut kekal sehingga berakhirnya babak pertama perlawanan.

Bersambung separuh masa kedua, THT kembali menggandakan asakan bagi menambahjaringan namun sebaliknya yang berlaku apabila KLHC kendalian Muhammad DhaarmaRaj Abdullah itu berjaya merapatkan jurang jaringan menerusi pakar pukulan sudut penalti negara, Muhammad Razie Abdul Rahim pada minit ke-51.

Kapten KLHC itu terus meledak gol kedua menerusi jaringan sama, selang 4 minit kemudian sebelum Mohd Syamim Yusof menjaringkan gol ketiga KLHC pada minit ke-59 bagi mengheret perlawanan ke penentuan pukulan penalti.

Penjaga gol THT, Mohd Hafizuddin Othman muncul wira pasukan Pantai Timur itu selepas menyelamatkan pukulan kelima oleh pemain import KLHC dari Pakistan, Waseem Ahmad, sekali gus merampas kejuaraan daripada KLHC.

Sarjit yang ditemui pemberita selepas perlawanan tersebut, nyata gembira dengan keputusan tersebut sambil memuji semangat juang tinggi yang dipamerkan para pemain walaupun tertekan selepas terikat 3-3 pada penghujung babak perlawanan.

"Saya juga patut berikan pujian kepada KLHC yang pamerkan semangat juang tinggi sehingga berjaya menyamakan kedudukan dan pasukan kita agak bernasib baik kerana mereka tidak menjaringkan lebih banyak gol," kata bekas pengendali skuad senior kebangsaan itu.

Berkongsi nada yang sama adalah Mohd Shahrun Nabil yang menyifatkan kejayaan tersebut disebabkan oleh semangat bekerjasama yang ditampilkan oleh rakan sepasukan pada perlawanan tersebut.

"Syukur Alhamdulillah kerana kita berjaya meraih kejuaraan berganda. Ini semua hasil kerja keras rakan sepasukan," katanya.

TNB pula sekadar berpuas hati di tempat ketiga apabila membenam Maybank 4-2 menerusi penentuan pukulan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada masa penuh perlawanan.

TNB terlebih dahulu membuka tirai jaringan seawal minit ketiga menerusi Muhamad Amin Rahim hasil pukulan sudut penalti sebelum Jiwa Mohan menyamakan kedudukan untuk Maybank pada minit ke-43 menerusi jaringan yang sama.

Mereka meraih wang tunai RM40,000 selaku pemenang tempat ketiga manakala Maybank membawa pulang wang tunai 30,000 selepas menduduki tangga keempat.

Hoki Liga Malaysia, THT

Artikel Sebelum

Man United Benam Liverpool 3-0

Artikel Berikut

Artikel Lain