suria

Atlet Negara Di Palembang Perlu Kerja Keras - Ketua Kontinjen

Atlet-atlet wushu mempamerkan aksi memberangsangkan di Palembang.

PALEMBANG: Atlet universiti negara yang menggalas cabaran di Sukan Universiti Asean (AUG) Ke-17 Palembang perlu berusaha lebih keras meskipun perlu berdepan dengan atlet berprofil tinggi dari negara-negara lain, kata Ketua Kontinjen Malaysia Datuk Prof Dr Abdullah Mohamad Said.

Beliau berkata hampir 70 peratus penyertaan pada temasya dwitahunan itu melibatkan atlet universiti yang kebanyakannya tidak mempunyai pengalaman dan pendedahan meluas di peringkat antarabangsa.

Namun, katanya kurang pengalaman di peringkat antarabangsa bukan penghalang untuk atlet negara beraksi lebih cemerlang dan memberi cabaran kepada atlet-atlet berprofil tinggi dari negara-negara lain.

"Saya berpendapat peluang untuk meraih banyak pingat emas di sini masih ada tetapi atlet perlu bekerja keras kerana kejohanan kali ini diadakan di Indonesia. Tuan rumah menghantar sebanyak mungkin atlet mereka bagi semua acara berbanding semasa beraksi di Laos 2012," katanya kepada pemberita di sini.

Menurutnya AUG adalah platform terbaik untuk atlet universiti menunjukkan prestasi untuk diserap menjadi atlet kebangsaan.

Kontinjen Malaysia masih berada di landasan yang baik untuk mencapai sasaran 40 pingat emas walaupun setakat ini pingat terkumpul ialah lapan pingat emas, sembilan pingat perak 11 pingat gangsa.

Karate menyumbangkan enam pingat emas manakala wushu meraih dua pingat emas buat kontinjen negara.

"Saya harap dalam tempoh terdekat ini, apabila bermulanya acara olahraga,renang, terjun dan memanah, kontinjen negara dapat mengumpul lebih banyak pingat emas. 

"Silat, badminton dan lawan pedang juga berpotensi untuk membantu mencapai sasaran pingat (40 emas)," kata Abdullah.

Beliau turut memuji pencapaian cemerlang skuad bola sepak yang meraih tiket ke separuh akhir selain pasukan karate dan wushu yang mempamerkan aksi memberangsangkan di Palembang.-BERNAMA

AUG, Palembang

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain