suria

Liga KPM-FAM-PPBN Cungkil Bakat Pelajar Wanita

KUANTAN: Bagi mencungkil bakat baharu bola sepak dalam kalangan wanita, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan kerjasama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) memperkenalkan Liga Bola Sepak Perempuan KPM-FAM-PPBN bawah 14 tahun. 

Pengarah Bahagian Sukan KPM Datuk Marina Chin berkata, usaha tersebut dilihat positif untuk menggalak dan memberi peluang kepada pelajar perempuan mempamerkan kebolehan serta kemahiran mereka dalam sukan ini melalui pertandingan yang diadakan.

"Liga bola sepak perempuan bawah 14 tahun ini merupakan landasan tepat untuk membangunkan sukan bola sepak wanita di negara ini kerana bakat pemain muda ini boleh dicungkil dan diasah pada kejohanan pada peringkat akar umbi seperti ini.

"Kita memasang impian untuk membangunkan bola sepak wanita bukan sahaja diperingkat tempatan bahkan mengharumkan nama negara hingga ke peringkat antarabangsa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran liga berkenaandi Stadium Mini Sekolah Sukan Malaysia Pahang pada Khamis

Pada sirkit kedua di sini, sebanyak 11 pasukan yang mewakili sekolahmasing-masing berentap pada kejohanan yang berlangsung sejak semalam sehingga Jumaat.

Sirkit pertama liga yang diadakan di Pulau Pinang pada 14 hingga 16 November lalu menyaksikan tiga pasukan iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK)  Seksyen 11 Selangor, Sekolah Sukan Malaysia Sabah dan SMK Seri Kota Melaka masing-masing berjaya mengutip sembilan mata untuk menghuni kedudukan tiga teratas liga.

Menurut Marina, tidak mustahil untuk Malaysia menjadi kuasa besar sukan bola sepak wanita di rantau ini sekiranya semua pihak berusaha gigih dan memainkan peranan penting untuk mencapai kejayaan itu. 

"Dengan adanya akademi bola sepak wanita di peringkat sekolah-sekolah, ia memangkin pembangunan sukan ini.

"Ia kerana kita berupaya mengesan bakat muda di peringkat awal sebelum mereka digilap menjadi bintang bola sepak wanita," katanya. 

Bola sepak wanita, FAM

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain