suria

Jelajah ATP Dunia Akhir: Federer Singkir Murray, Mara Ke Separuh Akhir

Murray akui kecewa selepas tewas mudah kepada Federer.

JAGUH tenis No.2 dunia, Roger Federer menamatkan langkah Andy Murray 6-0 6-1 pada aksi peringkat Kumpulan B Jelajah ATP Dunia Akhir di London awal pagi Jumaat.

Federer mengambil masa 55 minit menewaskan pemain pilihan tuan rumah itu biarpun Murray cuba bangkit pada set kedua permainan.

Pemain Switzerland itu langsung tidak memberi peluang kepada Murray untuk mengutip mata sekaligus kemenangan ini dianggap sebagai balas dendam ke atas kekalahan kepada pemain Britain itu ketika Sukan Olimpik di Wimbledon pada tahun 2012.

Manakala Murray terpaksa menelan kepahitan mencatat keputusan terburuk ini seperti mana yang dilalui ketika dikalahkan Novak Djokovic 6-1 6-0 pada aksi separuh akhir Miami Master 2007.

"Penamat aksi yang tidak baik tahun ini. Hari yang sukar buat saya.

"Saya tewas perlawanan penting ini kerana dia bermain dengan aksi luar biasa. Saya kecewa dengan tahap permainan sendiri.

"Namun jika saya bermain lebih baik daripada ini,  pastinya dia juga akan menang berdasarkan pukulan dan servis yang tepat. Dia hanya membuat sedikit kesilapan sahaja," jelas Murray.

Federer mengikut jejak langkah pemain Jepun Kei Nishikori mengisi slot separuh akhir selepas mengalahkan pemain Sepanyol David Ferrer 4-6 6-4 6-1.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain