suria

Khairy Bidas Razif Sidek Isu Doping Chong Wei

Khairy menggesa orang ramai supaya tidak membuat spekulasi sehingga proses pendengaran oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) yang dijangka diadakan awal bulan depan berhubung isu doping membabitkan Lee Chong Wei selesai.

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin membidas bekas pemain badminton kebangsaan, Razif Sidek kerana mendakwa Datuk Lee Chong Wei sudah menggunakan bahan terlarang ''dexamethasone'' dalam tempoh yang lama.

Tegas Khairy dakwaan itu tidak berasas dan menggesa orang ramai supaya tidak membuat spekulasi sehingga proses pendengaran oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) yang dijangka diadakan awal bulan depan selesai.

"Ini tuduhan serius yang membimbangkan saya," katanya pada sidang media di sini, Rabu.

Khairy berkata, dakwaan serius seumpama itu perlu disertakan dengan bukti.

Menurut Khairy lagi, Chong Wei telah meminta peguamnya untuk menulis surat tuntutan supaya Razif menarik balik dan tidak mengulangi dakwaannya itu.

Khairy turut meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang kesimpulan.

Pada Selasa, BWF secara rasmi mendedahkan bahawa pemain nombor satu dunia itu merupakan atlet yang didapati gagal ujian dadah dan sekaligus berhadapan tindakan gantung sementara daripada menyertai sebarang kejohanan.

Pada hari sama, sebuah portal berita melaporkan Razif mendakwa Chong Wei menggunakan bahan terlarang antiradang itu dalam tempoh yang lama.

Bagaimanapun Chong Wei, 32, memuat naik mesej dalam Twitter dan Facebook beliau untuk mengucapkan terima kasih kepada peminat atas sokongan mereka dan menafikan menggunakan bahan terlarang itu.

Artikel Lain