suria

Isu Doping: Chong Wei Perlu Dibela - KJ

Khairy Jamaluddin.
PUTRAJAYA: Malaysia perlu menyediakan pembelaan terbaik kepada jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei dan kerjasama daripada semua pihak amat diperlukan, kata Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata, perkara ini termasuk badan-badan sukan berkenaan dan klinik swasta yang didakwa memberikan bahan terlarang kepada Chong Wei bagi menamatkan isu tersebut.

Jelasnya, beliau tidak mahu menuding jari kepada mana-mana pihak tetapi adalah menjadi tanggungjawabnya untuk mencari kebenaran.

"Sekarang bukan masa untuk menyalahkan sesiapa tetapi untuk menyediakan pembelaan terbaik kepada atlet itu. Untuk itu, kita memerlukan kerjasama sepenuhnya daripada sesiapa sahaja termasuk BAM (Persatuan Badminton Malaysia), ISN (Institut Sukan Negara) dan klinik swasta.

"Kita mahu tahu kronologi proses itu dan mengapa bahan terlarang itu masih dalam sistem atlet,' katanya pada Isnin.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis menandatangani memorandum bersama industri di Kementerian Belia dan Sukan, di sini Isnin.

Khairy berkata, ia bukan suatu yang luar biasa bagi ISN untuk merujuk atlet kepada pakar di klinik swasta tetapi bersetuju susulan kes itu, prosedur tersebut mungkin perlu dikaji semula.

Katanya, pertanyaan penting dalam isu doping Chong Wei adalah mengapa kesan penggunaan bahan terlarang dexamethasone kekal begitu lama daripada biasa di badannya.

Khairy berkata, memandangkan perkara seperti itu jarang berlaku, adalah penting untuk mengetahui puncanya kerana ia boleh membantu dalam pembelaan Chong Wei semasa sesi pendengaran oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) nanti.

"Klinik tersebut merawat atlet kita sejak beberapa tahun lalu. Oleh itu, adalah penting untuk kita mengetahui apa yang berlaku dan membentangkannya kepada BWF dan menegaskan ia bukan kesilapan atlet," katanya.
Lee Chong Wei, doping

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain