suria

Doping: KBS, BAM Bantu Chong Wei

Khairy Jamaluddin.
KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan terus bekerjasama dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bagi memastikan Datuk Lee Chong Wei menerima hukuman minima selepas disahkan gagal dalam ujian doping.


Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, pihak kementerian akan turut menyalurkan bantuan terbaik kepada pemain tersebut untuk mengelakkannya daripada berehat panjang dan sekali gus memberi kesan kedudukan ranking nombor satu dunia yang dipegangnya sejak beberapa tahun lepas.

Beliau yang sudah mangadakan perjumpaan dengan Chong Wei, berharap pemain tersebut dapat bersabar menghadapi 'detik hitam' dalam hidup sebagai seorang bergelar jaguh badminton negara.

 
"Saya mendapat tahu berita ini 2 Ogos lalu dan saya telah selaraskan segala siasatan bersama Institut Sukan Negara (ISN) dan BAM termasuk berjumpa dengan atlet tersebut.
 
"Jadi, kita telah beri kerjasama yang baik kepada BAM untuk menjalankan siasatan terhadap kes ini sehingga sesi pendengaran BWF bermula nanti," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan cawangan ketiga kedai aiskrim yogurt TCBY yang dimiliki oleh syarikat pengeluar makanan dan minuman, Dewina Super Froyo Sdn Bhd., di sini, hari ini.
 
Chong Wei disahkan positif bahan terlarang 'dexamethasone' dalam ujian sampel B yang dilakukan di Hospital Universiti Olso, Norway, Rabu lepas.

Sebelum ini, Timbalan Presiden BAM, Datuk Norza Zakaria mengumumkan hasil keputusan itu dalam sidang media di sini.

Dengan keputusan itu, Chong Wei berdepan hukuman gantung dua tahun oleh Agensi Antidoping Dunia (WADA) sekiranya gagal dalam rayuannya kepada BWF.

Mengulas lanjut, Khairy berkata peguam sukan terkenal dari England, Mike Morgan telah dilantik oleh BAM untuk menyediakan segala hujah berkaitan kes doping tersebut di hadapan jawatankuasa panel pendengaran BWF.

BWF bagaimanapun masih belum menentukan tarikh dan tempat yang sesuai bagi mendengar penjelasan daripada Morgan dan Chong Wei.
 
"Selepas sesi pendengaran itu tamat, barulah BWF akan buat ketetapan sama ada atlet itu digantung ataupun tidak atau diberi amaran...Buat masa ini, kita sedang sediakan maklumat yang terperinci untuk dikemukakan dalam sesi pendengaran tersebut," menurut Khairy.

Dalam pada itu, Khairy berharap tiada yang menuding jari kepada ISN yang sepatutnya mempunyai seorang doktor pakar khusus bagi mengawal pengambilan ubat-ubatan oleh Chong Wei.
 
"Susahlah kalau setiap atlet perlu mempunyai doktor pakar. Dalam kes ini, atlet berkenaan telah dirujuk kepada seorang doktor pakar swasta di mana dia (Chong Wei) telah menerima rawatan dan ini bukan kali pertama dia menerima rawatan di sana.
 
"Klinik ini menjadi rujukan kepada ISN, jadi terlalu awal untuk kita buat kesimpulan mengenai peranan dan tanggungjawab ISN," jelas Khairy.

Media tempatan sebelum ini melaporkan Chong Wei terbabit dalam skandal doping selepas bahan 'dexamethasone' ditemui dalam air kencingnya semasa ujian rawak dijalankan pada Kejohanan Dunia di Copenhagen, Denmark, Ogos lepas.

'Dexamethasone' adalah sejenis ubat steroid dengan kesan antiradang bagi kegunaan rawatan pelbagai masalah kesihatan dan pemulihan termasuk reumatologi.

BAM, KBS, doping, Chong Wei

Artikel Lain