suria

Jawatan KP MSN Terbuka Kepada Warga Asing - Khairy

Khairy Jamaluddin.
PETALING JAYA: Jawatan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) terbuka kepada warga tempatan dan asing, kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

Justeru, beliau berkata iklan kekosongan jawatan berkenaan terpaksa disiarkan dalam bahasa Inggeris di laman web rasmi Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Khairy berkata demikian mengulas kenyataan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Datuk Dr Awang Sariyan dalam sebuah akhbar tempatan pada Rabu, yang menegur KBS kerana menyiarkan iklan kekosongan jawatan Ketua Pengarah MSN dalam bahasa Inggeris.

Mengulas lanjut, Khairy berkata tidak timbul sebarang masalah jika warganegara asing memegang jawatan berkenaan kerana ia adalah kerjaya profesional dalam usaha menaikkan prestasi sukan negara.

"Tiada masalah kerana kita cari individu terbaik untuk jawatan ini. Isu bukan rakyat tempatan tidak timbul kerana yang penting individu tersebut komited kepada usaha menaikkan (imej) sukan negara," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada jamuan tengah hari sempena Sidang Kemuncak Modal Insan Tun Abdullah Ahmad Badawi 2014 di sini, Rabu.

Khairy berkata semangat patriotisme terhadap pembangunan sukan negara juga tidak terjejas jika jawatan berkenaan dipegang oleh individu warganegara asing, seperti mana kejayaan yang dikecapi beberapa negara lain.
 
"Berapa ramai jurulatih bola sepak yang jadi juara dunia datang dari negara lain? (Malah) jurulatih dan pembuat dasar sukan di luar negara juga diambil bukan dari negara mereka sendiri," katanya.

Penyandang Ketua Pengarah MSN Datuk Seri Zolkples Embong dilantik sebagai Ketua Eksekutif Sukan SEA 2017 manakala kekosongan jawatan itu mula diiklankan kepada orang ramai dalam bahasa Inggeris di laman web rasmi KBS, mulai Selasa sehingga tiga minggu akan datang.

Jawatan tersebut ditawarkan secara kontrak selama dua tahun.

Dalam ucaptamanya, Khairy berkata 80 peratus pelajar Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) mendapat pekerjaan walaupun institut tersebut dipandang skeptikal oleh segelintir ibu bapa.

Bagi melahirkan lebih ramai tenaga berkemahiran, beliau berkata keutamaan KBS ialah mengambil langkah memperkasakan institut kemahiran seluruh negara bagi membantu negara mencapai sasaran 50 peratus tenaga berkemahiran menjelang 2020.

Artikel Lain