suria

Tiket Piala AFF Suzuki Kumpulan B Dijual Mulai Selasa

KUALA LUMPUR: Tiket bagi perlawanan bola sepak Kumpulan B Piala AFF Suzuki 2014 di dua venue berasingan di Singapura akan dijual mulai Selasa.

Menurut Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) dalam laman webnya hari ini, harga tiket untuk dua perlawanan membabitkan Malaysia di Stadium Jalan Besar adalah $S26 (RM66.94) untuk grandstand dan S$18 (RM46.34) untuk tempat duduk galeri.

Penonton Malaysia boleh membeli tiket bagi dua perlawanan tersebut menerusi laman web Sports Hub, www.sportshubtix.sg, kaunter Sports Hub di Stadium Tertutup Singapura dan juga di semua kaunter perkhidmatan pos, SingPost.

Malaysia akan bertemu Myanmar pada 23 November dan Thailand pada 26 November manakala perlawanan ketiga menentang tuan rumah Singapura akan berlangsung di stadium baharu, Singapore Sports Hub National Stadium, pada 29 November.

Stadium terbaru itu mempunyai kapasiti 55,000 penonton.

FAS, bagaimanapun, berkata peminat Malaysia perlu membeli tiket perlawanan antara Malaysia-Singapura daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Kumpulan B terdiri daripada Malaysia, Singapura, juara hatrik Thailand dan pemenang pusingan kelayakan, Myanmar.
Dalam pada itu, Vietnam akan menjadi tuan rumah perlawanan Kumpulan A di Hanoi.

Selain Vietnam, pasukan lain dalam kumpulan itu terdiri daripada Filipina, Indonesia dan Laos.

Selepas perlawanan peringkat kumpulan, dua pasukan teratas dalam setiap kumpulan akan bersaing dalam peringkat separuh akhir secara timbal balik.

Kejohanan tersebut dianjurkan oleh Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF).

Berikut Jadual Perlawanan Piala AFF Suzuki 2014:

KUMPULAN A: Vietnam, Filipina, Indonesia, Laos.
22 Nov: Filipina lwn Laos; Vietnam lwn Indonesia
25 Nov: Filipina lwn Indonesia; Laos lwn Vietnam
28 Nov: Indonesia lwn Laos; Vietnam lwn Filipina


KUMPULAN B: Singapura, Thailand, MALAYSIA, Myanmar.
23 Nov: MALAYSIA lwn Myanmar; Singapura lwn Thailand
26 Nov: MALAYSIA lwn Thailand; Myanmar lwn Singapura
29 Nov: Thailand lwn Myanmar; Singapura lwn MALAYSIA


SEPARUH AKHIR 1

6 Dis: Naib juara Kumpulan A lwn Juara Kumpulan B
7 Dis: Naib Juara Kumpulan B lwn Juara Kumpulan A

SEPARUH AKHIR 2
10 Dis: Juara Kumpulan B lwn Naib Juara Kumpulan A
11 Dis: Juara Kumpulan A lwn Naib Juara Kumpulan B

PERLAWANAN AKHIR:
17 Dis: Akhir 1
20 Dis: Akhir 2

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain