suria

Piala Malaysia: FAM Agih 40,000 Tiket Final Kepada Pahang Dan JDT

PETALING JAYA: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memperuntukkan 40,000 keping tiket masing-masing kepada penyokong Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Pahang untuk aksi final Piala Malaysia 2014 di Stadium Nasional Bukit Jalil, 1 Nov ini.

Timbalan Presiden FAM Datuk Seri Afandi Hamzah berkata pihaknya akan menyerahkan tiket berkenaan kepada Persatuan Bola Sepak kedua-dua pasukan, petang esok sebelum mula dijual kepada penyokong masing-masing pada Rabu dan Khamis ini.

Beliau yang juga Pengerusi Pengelola Perlawanan Akhir berkata, baki 10,000 keping tiket akan dijual secara dalam talian menerusi laman sesawang www.tickethotline.com.my bermula Rabu ini dan ia boleh ditebus keesokan hari dari 10 pagi hingga 6 petang di Stadium Putra, Bukit Jalil.

Tiket bagi dewasa ditetapkan pada kadar RM40 manakala kanak-kanak bawah 12 tahun sebanyak RM5.

"Setiap penonton hanya dibenarkan membeli maksimum empat keping tiket sahaja...Memandangkan kita tidak membuka kaunter tiket pada hari perlawanan sebagaimana yang dilakukan sebelum ini, saya mengharapkan Persatuan Bola Sepak kedua-dua pasukan melaksanakan penjualan tiket seadilnya kepada penyokong masing-masing," kata Afandi.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa berkenaan yang berlangsung hampir empat jam di Wisma FAM, Kelana Jaya, di sini, pada Isnin.

Dalam pada itu, Afandi menasihatkan bas yang membawa penyokong supaya meletakkan kenderaan di tempat yang dikhaskan iaitu di Universiti Putra Malaysia bagi penyokong JDT dan Technology Park Malaysia di Bukit Jalil bagi penyokong Pahang.

"Kita meminta pemandu bas yang membawa penyokong kedua-dua pasukan supaya hanya menurunkan penumpang masing-masing dan meletakkan bas berkenaan di tempat yang ditetapkan...Kalau boleh, kita mahu segala urusan menurunkan kesemua penyokong selesai sebelum pukul 2 petang bagi mengelakkan kesesakan yang teruk.

"Orang ramai yang mempunyai kenderaan sendiri digalakkan supaya menggunakan pengangkutan awam seperti transit aliran ringan memandangkan pihak RapidKL bersetuju untuk melanjutkan tempoh perkhidmatan mereka pada hari perlawanan," katanya.

Afandi berkata keputusan berkenaan diambil memandangkan terdapat dua acara lain yang turut diadakan di sekitar stadium iaitu Perhimpunan Anak-Anak Negeri Sarawak Seluruh Malaysia yang dijangka dihadiri Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud selain perayaan keagamaan Buddha.

Beliau turut meminta penyokong JDT supaya masuk ke venue perlawanan menerusi pintu merah, kuning dan hijau manakala penyokong Pahang akan melalui pintu berwarna ungu, biru dan hijau.

Afandi berkata sejumlah 2,500 anggota keselamatan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Rela dan beberapa agensi lain terlibat bagi mengawal kehadiran penyokong serta keadaan trafik pada aksi final nanti.

JDT mara ke final selepas menang agregat 6-5 ke atas Felda United FC manakala Pahang yang merupakan juara bertahan, mara selepas menundukkan Kedah dengan keputusan agregat 6-3 pada peringkat separuh akhir.


FAM, Piala Malaysia

Artikel Lain