suria

Saya Tidak Ambil Jalan Mudah - Presiden WFM

Cheau Xuen diuji positif mengambil bahan perangsang 'sibutramine', selepas memenangi pingat emas pertama buat kontinjen Malaysia pada temasya Sukan Asia baru-baru ini.

KUALA LUMPUR: Presiden Persekutuan Wushu Malaysia (WFM), Datuk Martin Lim menolak dakwaan bahawa beliau melepaskan jawatannya sebagai jalan mudah untuk keluar daripada isu doping melibatkan atlet kebangsaanTai Cheau Xuen pada temasya Sukan Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan.

Beliau berkata tindakan melepaskan jawatan berkuat kuasa akhir bulan iniadalah untuk mengambil tanggunjawab penuh atas kegagalannya sebagai presiden untuk membendung perkara tersebut sehingga mencalar imej dan nama baik persatuan.

"Tugas sebagai presiden bukan satu perkara mudah dan saya perlu bertanggungjawab dengan apa yang berlaku baik kepada atlet, jurulatih dan juga persatuan kerana tidak apa yang mampu saya lakukan lagi," katanya pada Khamis.

Cheau Xuen, 23, diuji positif mengambil bahan perangsang 'sibutramine', selepas memenangi pingat emas pertama buat kontinjen Malaysia pada temasya sukan itu, 20 September lepas.

"Perkara yang berlaku telah berlalu dan tidak apa yang boleh dilakukan lagi walaupun persatuan membuat siasatan dalaman seperti yang disarankan," kata Lim.  

Beliau mengulas mengenai saranan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) agar beliau menjalankan siasatan dalaman terlebih dahulu sebelum meletak jawatan sebagai presiden.

Pada Selasa, Setiausaha Agung MOM, Datuk Sieh Kok Chi meminta Lim menyelesaikan kes doping itu terlebih dahulu sebelum melepaskan jawatan bagi memberi keadilan kepada atlet itu.

Kok Chi juga meminta agar Lim membuat pilihan sama ada menentukan hukuman yang setimpal terhadap atlet terbabit ataupun segera membuat rayuan meringankan hukuman kepada atlet itu sebelum membuat pertimbangan bagi meletak jawatan.

Mengulas mengenai bentuk hukuman yang bakal diambil WFM terhadap Cheau Xuen,Lim berkata beliau menyerahkan perkara tersebut kepada timbalannya, Ling Eng Chan untuk membuat tindakan susulan.

"Selepas ini, saya tiada lagi dalam persatuan namun masih bersedia untuk menghulurkan bantuan kepada persatuan dan sukan wushu pada bila-bila masa diperlukan," katanya.

"Beliau berharap tindakannya turut menjadi satu pengajaran kepada pemimpin persatuan sukan supaya memberi penekanan kepada aspek doping dan tidak hanya sibuk memburu kejayaan dalam sesuatu kejohanan.

Artikel Lain