suria

Kekalahan Sepanyol Petanda Buruk Buat Iker Casillas

> Slovakia tumpaskan Sepanyol 2-1 dalam kelayakan Piala Negara-negara Eropah

> Bekas pemain Chelsea Miroslav Stoch menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-87

> Apakah ini petanda berakhirnya era penjaga gol Real Madrid Iker Casillas sebagai pemain kebangsaan

> Ini adalah kekalahan Sepanyol yang pertama dalam pusingan kelayakkan dalam tempoh lapan tahun

> Kegersangan gol Diego Costa di arena antarabangsa berterusan

SEJAK tersingkir dalam keadaan yang memalukan sebagai penyandang juara dalam temasya Piala Dunia tahun ini, Sepanyol nampaknya masih belum bangkit sepenuhnya sebaliknya sekali lagi memperlihatkan betapa mereka tidak mampu lagi bertahan dengan pemain-pemain regular yang semakin tua dan perlahan.

Iker Casillas misalnya boleh dipersalahkan untuk kedua-dua gol lawan dalam perlawanan pusingan kelayakan Kejohanan Negara-negara Eropah menentang Slovakia yang berlangsung awal pagi tadi waktu Malaysia.

Pada masa yang sama, penjaring gol sensasi Diego Costa tidak dapat mengulangi bisa yang ditunjukkannya bersama Chelsea apabila dia kini mencatatkan enam perlawanan antarabangsa tanpa gol berbanding sembilan gol yang dijaringkannya untuk Chelsea dalam sembilan perlawanan.

Costa sebenarnya berpeluang menjaringkan beberapa gol tetapi malangnya dia gagal berbuat demikian.

Kekalahan ini juga adalah yang pertama di peringkat kelayakan oleh Sepanyol dalam tempoh lapan tahun.

Pasukan bimbingan Vicente del Bosque kini berhadapan dengan prospek akan mengulangi persembahan buruk ketika di temasya Piala Dunia melainkan dia mula mencari jalan bagaimana untuk memotivasikan pemain-pemain ternamanya mencapai kemenangan.

Tetapi pada masa yang sama, pemain-pemain generasi baru seperti David De Gea sudah sewajarnya diberi peluang untuk mengambil alih tempat Casillas yang telahpun bermain sebanyak 158 kali untuk negaranya.

Malah gol konsolasi Sepanyol dijaringkan oleh pemain gantian Paco Alcacer dan ia adalah golnya yang kedua dalam dua perlawanan untuk skuad kebangsaan.

SLOVAKIA: Kozacik, Pekarik, Skrtel, Durica, Hubocan, Mak (Stoch 61), Pecovsky, Gyomber, Kucka (Kiss 83), Weiss (Duris 54), Hamsik.SIMPANAN: Michalik, Guede, Sestak, Nemec, Novota, Sabo, Mucha, Jakubko. GOL: Kucka 17, Stoch 87.

SEPANYOL: Casillas, Juanfran (Cazorla 81), Pique, Albiol (Pedro 58), Jordi Alba, David Silva (Alcacer 71), Busquets, Fabregas, Koke, Iniesta, Diego Costa. SIMPANAN: Azpilicueta, Bartra, Raul Garcia, De Gea, Iturraspe, Casilla, Carvajal, Bernat, Rdorigo. GOL: Alcacer 82.

Artikel Lain