suria

Atlet Para Asia Mampu Raih Lebih 9 Pingat Emas - Khairy

Khairy Jamaluddin
KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin optimis atlet paralimpik mampu membuktikan kemampuan mereka meraih lebih sembilan pingat emas pada temasya Sukan Para Asia di Incheon, Korea Selatan, bermula 18 Oktober ini.

Katanya soal meletakkan sasaran adalah bersandarkan kepada kemajuan prestasi atlet paralimpik itu sendiri.

"Jika tidak ada kemajuan prestasi, kita tidak boleh buktikan kepada negara bahawa atlet paralimpik kita telah meningkat pencapaian mereka.

"Mereka terpaksa harungi pelbagai cabaran dalam menjalani sesi latihan seharian, jadi saya yakin mereka akan guna pengalaman latihan dan penyertaan ke kejohanan tempatan mahu pun dunia sebelum ini sebagai penambah semangat," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan Jalur Gemilang.
Jalur Gemilang Sukan Para Asia diserahkan kepada pemegang bendera, Muhammad Ziyad Zolkefli.

Untuk rekod, kontijen negara meraih sembilan pingat emas, 13 perak dan 23 gangsa pada Sukan Para Asia di Guanghzou, China pada 2010.

Kontinjen negara sebanyak 199 atlet dan pegawai akan menyertai 15 jenis sukan di Incheon 18 hingga 25 Oktober ini.

Sementara itu, ketua kontinjen, Datuk Ab Jalil Abdullah berkata pihaknya menaruh keyakinan penuh bahawa kontinjen negara akan mencapai kejayaan seperti mana yang diharapkan.

"Kita telah mengadakan persediaan awal. Kebanyakan atlet telah pun mengikuti program yang telah dirancang dan selain daripada itu mereka juga telah mengikuti pertandingan di peringkat antarabangsa.

"Dengan pendedahan dan latihan berkenaan saya yakin mereka akan dapat memberikan persembahan terbaik. Kita akan perbaiki jumlah pungutan pingat emas," katanya.

Ab Jalil, yang juga merupakan Pengarah Bahagian Pengurusan Sukan Majlis Sukan Negara (MSN), berkata pihaknya mengambil langkah selamat dengan tidak mengumumkan sasaran yang lebih spesifik.

Katanya, sasaran spesifik pungutan pingat hanya akan diumumkan selepas pengurus sukan mengadakan mesyuarat bagi membincangkan hal berkenaan.
Para Asia, Khairy Jamaluddin

Artikel Berikut

Keputusan Kelayakan Euro 2016

Artikel Lain