suria

Dua Anak Jati Pulau Mutiara Berentap Pingat Emas Skuasy Esok

Wee Wern (kiri) dan Nicol bakal beraksi menentang satu sama lain pada perlawanan akhir skuasy perseorangan wanita Sukan Asia.
INCHEON: Dua anak kelahiran Pulau Pinang, Datuk Nicol Ann David dan Low Wee Wern akan berentap sesama sendiri untuk merebut pingat emas acara skuasy perseorangan wanita pada Sukan Asia ke-17 di sini, Selasa.


Kontinjen Malaysia sudah dijamin pingat emas dan perak dalam acara itu apabila buat julung kali dua wakil wanita negara bertembung di pentas final sejak acara skuasy diperkenalkan pada edisi 1998 di Bangkok.

Nicol terlebih dahulu menepati ramalan apabila dengan mudah menyingkirkan pemain India, Dipika Rebecca Pallikal dengan 11-4, 11-4 dan 11-5 di saingan separuh akhir di Pusat Skuasy Yeorumul di sini, Isnin.

Selaku pemain nombor satu dunia, pemain berusia 31 tahun itu hanya memerlukan masa 25 minit untuk melangkah ke final, sekali gus mengintai pingat emas keempatnya dalam acara individu selepas edisi 1998 di Bangkok, 2006 di Doha dan edisi lepas di Guangzhou, China pada 2010.

Wee Wern, selaku penyandang pingat gangsa, pula mencapai sasarannya ke final buat pertama kali selepas mengejutkan penyandang pingat perak dari Hong Kong, Annie Au.

Bagaimanapun, pemain nombor dua negara itu, terpaksa bekerja keras untuk mengejutkan penyandang pingat perak itu dengan keputusan 11-9, 11-5 dan 11-5 dalam masa 39 minit.

Wee Wern, 24, berkata kemenangan ke atas lawannya yang berpengalaman itu bukan sesuatu yang mudah.

"Saya fikir saya memiliki sedikit kelebihan bermain dalam gelanggang kaca berbanding Annie," katanya.

Katanya, beliau memperagakan aksi cemerlang serta mengelak kesilapan untuk meraih kemenangan ke atas lawannya.

Mengulas pertemuan dengan Nicol, Wee Wern berkata lawannya itu adalah model contoh bagi dirinya.

"Nicol sentiasa membantu sepanjang karier saya. Ini adalah pengalaman baharu dan sudah pasti saya akan cuba yang terbaik. Walaupun, saya pernah kalah beberapa kali dengannya sebelum ini namun esok mungkin berbeza," katanya.

Dalam pada itu, Nicol, berkata beliau hanya mahu memperagakan aksi yang baik untuk meraih gelaran.


skuasy, Sukan Asia

Artikel Sebelum

Azizulhasni Mara Ke Suku Akhir

Artikel Berikut

Artikel Lain