suria

Sukan Asia: Badminton Lelaki Gagal Atasi China

Chong Wei tewas 17-21, 21-19, 11-21. - fotoBERNAMA
INCHEON: Skuad badminton lelaki negara gagal melepasi tembok besar China apabila kalah 0-3 dalam perlawanan separuh akhir acara berpasukan di Gyeyang Gymnasium pada Isnin.

Namun Malaysia tidak pulang dengan tangan kosong apabila meraih gangsa bersama dengan pasukan Taiwan yang tewas kepada tuan rumah Korea Selatan.

Pemain nombor satu dunia yang juga pemain utama negara Datuk Lee Chong Wei gagal menyumbang mata pertama apabila tewas kepada Chen Long.

Chong Wei kalah 17-21, 21-9 dan 11-21.

"Saya berada dalam keadaan yang baik tapi Chen Long bermain lebih bagus. Saya akan tumpu pada acara individu pula. Buat masa ini undian belum dikeluarkan," katanya.

Dalam pada itu Chen Long menyifatkan Chong Wei tidak menampilkan corak permainan sebenarnya.

"Saya mendahului sepanjang perlawanan dan mendapati Chong Wei bermain dengan tekanan. Chong Wei tidak menunjukkan prestasi sebenarnya," katanya.

Pasangan beregu negara Tan Boon Heong/Hoon Thien How yang bermula garang pada set pertama seperti membuka jalan untuk menyamakan mata namun terpaksa tunduk dengan kehebatan pasangan China Xu Chen/Zhang Nan.

Pasangan beregu negara menang set pertama 21-14 sebelum tewas pada set kedua dan set penentuan 15-21 dan 10-21.

Perseorangan kedua negara Chong Wei Fen ternyata tidak setanding jaguh handalan Lin Dan apabila memberi kemenangan mudah 11-21 dan 12-21.

Sementara itu jurulatih badminton negara Tey Seu Bock berkata beliau berpuas hati dengan corak dan cara permainan Chong Wei yang lebih tenang dan terbuka.

"Saya gembira dengan cara Chong Wei yang nampak lebih positif dan ini mengurangkan tekanan kepada beliau sendiri.

"Inilah yang saya mahu lihat supaya Chong Wei tidak terlalu memikirkan tekanan untuk menang sebaliknya seronok dengan permainannya," katanya.

Tey berkata bagi acara individu nanti, peluang meraih pingat emas adalah 50-50 dan bergantung kepada undian yang bakal dikeluarkan.

Beliau berkata Chong Wei dijangka berdepan pemain Thailand Boonsak Ponsana pada peringkat suku akhir dan mungkin berdepan Chen Long atau Lin Dan pada separuh akhir atau akhir.

"Apa yang saya boleh kata, pemain China akan lebih tertekan kini sebab perlu memikirkan corak permainan Chong Wei selepas ini," katanya.

Sukan Asia, Badminton Lelaki, China

Artikel Berikut

Balotelli Dihina Kerana Persenda MU

Artikel Lain