suria

YOG 2014: China Terus Ungguli Kutipan Pingat

Atlet Ekuestrian pelapis lelaki negara, Praveen Nair Mathavan ketika beraksi pada pusingan pertama, acara 'show jumping' berkumpulan di YOG 2014 edisi kedua yang berlangsung di Pusat Ekuestrian Xinzhuang dekat Nanjing pada Selasa. -fotoBERNAMA
NANJING: China terus mengungguli hari ketiga temasya Sukan Olimpik Remaja (YOG 2014) edisi kedua selepas mengumpul lima pingat emas, satu pingat perak dan lima pingat gangsa pada Selasa.

Rusia menjadi pencabar utama pasukan tuan rumah itu apabila menduduki tempat kedua dengan kutipan empat pingat emas, tiga pingat perak dan tiga pingat gangsa untuk mengatasi Hungary yang kekal dengan kutipan empat pingat emas dan dua pingat gangsa.

Negara Asia Tenggara, Thailand masih bertahan di kelompok 10 terbaik selepas menduduki tangga kelapan dengan mengumpul dua pingat emas dan satu pingat perak.

Sementara itu, skuad badminton negara cemerlang pada Selasa selepas pemain badminton perseorangan lelaki remaja negara Cheam June Wei melayakkan diri ke suku akhir setelah mengalahkan pemain badminton Turki Muhammed Ali Kurt dengan 21-14 dan 21-6 pada saingan penutup tirai peringkat Kumpulan C.

Beregu campuran pertama negara, Cheam yang digandingkan dengan pemain Hong Kong, Tsz Yau Ng layak, turut ke pusingan suku akhir apabila mengalahkan pasangan beregu campuran Lim Guipu (China) dan Kim Gaeun (Korea Selatan) dengan 22-20 dan 21-19.

Lee Ying Ying yang gagal ke suku akhir perseorangan wanita pada aksi sebelah pagi, menebus kegagalan itu apabila mara ke pusingan suku akhir beregu campuran bersama pasanganya Chia Hung Lu dari Taiwan selepas mengalahkan pasangan Garrido Esquvellr (Mexico) dan Kuuba Kristin (Estonia) dengan 21-17 dan 21-18.

Sementara itu, kem renang negara terus gagal memenangi sebarang pingat apabila perenang pelapis negara Yap Siew Hui hanya menduduki tangga ketujuh pusingan awal bagi acara 50m kuak kupu-kupu wanita dengan catatan masa 28.50 di Pusat Olimpik Natatorium Nanjing.

Lim Ching Hwang yang beraksi dalam acara 200m gaya bebas lelaki pula hanya menduduki tempat kelapan selepas menamatkan saringan dengan catatan masa 24.26s manakala Angela Cheng Chui Pei yang beraksi dalam acara 500m bebas wanita menduduki tempat ketujuh dengan catatan 9:00.61s.

Atlet golf remaja lelaki negara, Low Khai Jie yang memulakan cabaran pusingan pertama hari ini, terpaksa berpuas hati dengan kedudukan ke-15 manakala Kelly Kah Kah Yan yang beraksi dalam acara individu wanita mendapat keputusan tercorot.

Tumpuan kontinjen negara esok ditumpukan kepada acara badminton apabila beregu campuran negara pertama, Cheam akan berhadapan dengan rakan senegara Lee pada peringkat suku akhir.

Acara teakwondo dan olahraga pula membuka tirainya pada Rabu.
Sukan Olimpik Remaja, China

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain